Malaysia Vision Valley Bukti Wawasan BN, PH Jangan Ambil Kredit – Dr Asyraf

PALONG, 23 Julai – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa Malaysia Vision Valley (MVV) adalah bukti wawasan serta perancangan jangka panjang Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan Negeri Sembilan, bukannya idea baharu seperti yang cuba digambarkan oleh Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, tindakan PH menawarkan Malaysia Vision Valley 2.0 dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) hanyalah cubaan mendakwa kejayaan terhadap projek yang telah dirintis oleh kerajaan BN sejak tahun 2015.

katanya lagi, MVV telah diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 sebelum diperkasakan oleh kepimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Mereka hari ini jual manifesto kononnya nak buat Malaysia Vision Valley 2.0. Kamu lupakah Malaysia Vision Valley itu digagaskan oleh siapa? Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan), dan lebih awal daripada itu jangan lupa, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Datuk Seri Najib umumkan Malaysia Vision Valley pada 2015 dalam Rancangan Malaysia Ke-11. Mahu jadikan sebahagian besar daripada Negeri Sembilan; Labu, Nilai, Seremban sampai ke Port Dickson menjadi koridor baru untuk perkembangan ekonomi, sebagai limpahan kepada ekonomi di Kuala Lumpur yang dibangunkan Greater KL dan juga di Johor, Wilayah Iskandar.

“Itu perancangannya. Perindustrian, pelaburan baru, dan teknologi barunya,” katanya ketika berucap pada ceramah isu semasa di Felda Palong 4, di sini malam tadi.

Hadir sama Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; dan Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Turut hadir, calon BN dan penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong Datuk Mustapha Nagoor.

Tambah Dr Asyraf, perubahan kerajaan pada 2018 menyebabkan banyak projek pembangunan yang telah dirancang mengalami kelewatan apabila ditangguhkan, sekali gus menjejaskan pelaksanaan agenda pembangunan negeri.

“PH tangguhkan banyak projek, bahkan potong 10% daripada kos sebenar. Akhirnya lambat. Akhirnya semuanya tergendala.

“Hari ini nak claim credit. Kata nak buat Malaysia Vision Valley 2.0. Kita nak beritahu kepada rakyat, lebih baik kita cari kerajaan ori daripada kerajaan copy. Ini semua perancangan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa rekod pembangunan Negeri Sembilan membuktikan kemampuan BN melaksanakan projek-projek berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat seperti Bandar Sri Sendayan, Nilai 3 dan Seremban 2.

Dalam ceramahnya juga, Dr Asyraf berkata PH cuba sekali lagi cuba menabur fitnah dan menanam persepsi dalam kempen mereka di PRN Negeri Sembilan ini sebagaimana ketika PRN Johor lalu.

“Di Johor, kita berkempen secara berhemah. Kita sentuh soal tawaran kita. BN sentuh tawaran Maju Johor. Tetapi mereka tabur fitnah, kempen secara tidak berhemah. Apa kata mereka? “Kalau Barisan Nasional menang besar, Datuk Seri Najib akan dibebaskan”. Ini pembohong namanya.

“Dalam Perlembagaan (Persekutuan) Perkara 42(1) menyebutkan, setiap warganegara Malaysia yang dihukum oleh mahkamah hanya boleh mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, sama ada diampunkan, diringankan, ataupun dilegakan hukuman. Itu Perkara 42(1) dalam Perlembagaan. Ada ke tidak dalam Perlembagaan sebut, menang jadi Menteri Besar Johor, Najib boleh bebas? Sebab itu saya kata pembohong.

“Sampai Negeri Sembilan ingat sudah insaf, rupanya main juga sentimen baru. “Barisan Nasional menang, Yang di-Pertuan Besar akan ditukar.” Kamu baca ke tidak Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan ini? Kamu itu pemimpin. Apa kaitan pilihan raya Negeri Sembilan ini dengan Yang di-Pertuan Besar? Undang-Undang Tubuh tak menyebutkan menang pilihan raya, Menteri Besar ada kuasa tukar Yang di-Pertuan Besar. Tak ada,” tegasnya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO