Telitilah Fakta Dahulu… Anak Muda Kecewa Dengan Kenyataan Puad Zarkashi – Dr Aswad
PARIT SULONG, 23 Julai – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor Dr. Mohammad Aswad Ithnain yang mewakili suara anak muda melahirkan rasa kecewa dan jelik terhadap kenyataan terbaru Datuk Dr. Puad Zarkashi yang dilihat mengulas isu melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor tanpa penelitian yang sewajarnya.
Tegasnya, sebagai seorang tokoh politik yang berpengalaman dan berpendidikan tinggi, Dr. Puad seharusnya menyemak serta meneliti fakta terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan di media sosial.

“Dalam era penyebaran maklumat yang begitu pantas, setiap kenyataan pemimpin mempunyai implikasi besar terhadap persepsi masyarakat.
“Sekiranya sesuatu dakwaan masih belum dipastikan kesahihannya, adalah lebih wajar untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak yang terlibat daripada terus mengulas sehingga berpotensi menguatkan persepsi yang tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong itu, pengalaman luas dalam dunia politik dan akademik sepatutnya menjadi benteng kepada budaya membuat andaian atau mengulas berdasarkan maklumat yang belum disahkan.
“Rakyat, khususnya golongan muda, mengharapkan contoh kepimpinan yang berteraskan fakta, integriti dan tanggungjawab.
“Justeru, saya menyeru Datuk Dr. Puad Zarkashi agar mengambil kesempatan untuk bermuhasabah, lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, serta mengutamakan kebenaran dan keadilan dalam setiap pandangan yang disampaikan,” katanya.
Tegasnya lagi, perbezaan pendapat adalah lumrah dalam politik, namun ia hendaklah diasaskan kepada fakta, bukan persepsi atau dakwaan yang belum terbukti. – UMNO ONLINE
