MB Johor Umum Pelantikan 10 Timbalan Exco, Perkukuh Jentera Pentadbiran

ISKANDAR PUTERI, 22 Julai – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini mengumumkan pelantikan 10 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri bagi memperkukuh jentera pentadbiran dan mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata pelantikan itu juga bertujuan mempercepat penyelesaian isu rakyat serta memastikan setiap dasar pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan, seimbang dan inklusif di setiap daerah.

Onn Hafiz berkata pelbagai inisiatif strategik sedang dirangka dan akan dilaksanakan bagi memastikan Johor terus menjadi negeri maju menjelang 2030 selari dengan pelaksanaan kerangka Maju Johor 2030 serta Johor Economic Transformation Plan (JETP).

“Seiring dengan agenda pembangunan yang semakin pesat dan mencabar, kerajaan negeri melihat terdapat keperluan untuk memperkukuh kapasiti pentadbiran bagi memastikan setiap dasar, projek dan program dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya pada sidang media di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata cadangan pelantikan tersebut dipersembahkan dan telah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Beliau berkata setiap timbalan pengerusi jawatankuasa perlu bekerja secara berpasukan dan menjalinkan kerjasama erat dengan pengerusi jawatankuasa induk serta jabatan dan agensi berkaitan.

Langkah itu, menurut beliau penting bagi memantau pelaksanaan projek, menyelaras tindakan di lapangan dan memastikan setiap manfaat program dilancarkan benar-benar sampai ke peringkat akar umbi.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua barisan timbalan pengerusi yang dilantik dan yakin semangat kerja berpasukan seluruh kepimpinan kerajaan negeri mampu merealisasikan aspirasi rakyat Johor dengan cemerlang.

Berikut senarai 10 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri Johor:
1. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zaidi Japar (ADUN Rengit).
2. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Nadhirah Afiqah Abdull Rahim (ADUN Serom).
3. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Anuar Abd Manap (ADUN Pemanis).
4. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Mohd Youzaimi Yusof (ADUN Tenggaroh).
5. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Syed Hussein Syed Abdullah (ADUN Mahkota).
6. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Datuk Mohamad Najib Samuri (ADUN Parit Yaani).
7. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Chan San San (ADUN Johor Jaya).
8. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Sahrihan Jani (ADUN Gambir).
9. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Chua Jian Boon (ADUN Layang-Layang).
10. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan V. Rugendran (ADUN Kahang).
– BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO