Suhaimi Tekad Pertahan DUN Kota, Laksana Agenda Tergendala
REMBAU, 23 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Suhaimi Aini bertekad mempertahankan kerusi berkenaan untuk memastikan agenda pembangunan yang masih belum terlaksana dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata, tempoh pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini yang hanya berlangsung selama dua tahun lapan bulan menyebabkan terdapat beberapa perancangan yang masih belum dapat direalisasikan sepenuhnya.

“Semua sedia maklum, kami di Negeri Sembilan ini hanya dapat bersama-sama dengan kerajaan selama dua tahun lapan bulan. Jadi banyak lagi perancangan kita yang masih belum terlaksana.
“Banyak juga yang telah terlaksana tetapi masih ada lagi yang belum terlaksana kerana tempoh mentadbir itu tidak lama, hanya dua tahun lebih.
“Insya-Allah, kita akan teruskan dengan agenda-agenda kita yang sebelum ini tergendala,” katanya.
Ujar Suhaimi, gerak kerja kempen BN di DUN Kota terus diperkasa dengan menggerakkan jentera parti dari rumah ke rumah selain mengadakan pelbagai program di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan cawangan.
Katanya, sebanyak 15 PDM di DUN Kota digerakkan menerusi program taqarrub, dan ceramah-ceramah kecil di setiap lokaliti bagi mendekati serta mendapatkan sokongan pengundi.
“Masuk hari keempat kita berkempen, kita masih lagi menjalankan aktiviti ataupun program di peringkat PDM dan cawangan.
“Kita mengadakan program-program taqarrub, dan ceramah-ceramah kecil di setiap lokaliti yang ada di dalam DUN Kota ini.
“Kita bergerak mengikut PDM daripada pagi sehingga ke lewat malam dan Insya-Allah program ini akan berterusan sehingga minggu minggu depan.
“Gerak kerja kita juga adalah dari rumah ke rumah untuk kita berjumpa seramai mungkin pengundi, meraih undi, bertanya khabar dan bersama-sama dengan jentera,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh jentera BN agar terus mengekalkan momentum kempen sehingga ke hari terakhir, sambil menyifatkan penerimaan masyarakat terhadap BN pada PRN kali ini semakin positif.
“Semangat kebersamaan dan penyatuan dalam kalangan pengundi di DUN Kota yang majoritinya adalah pengundi Melayu turut memberikan perkembangan positif kepada gerak kerja BN.
“Kepada semua jentera, saya mengharapkan supaya kita mengekalkan momentum yang saya kira amat baik ini berbanding dengan pilihan raya yang dulu.
“Alhamdulillah, nampak kali ini penerimaan masyarakat dan orang ramai agak sangat baik kerana kebersamaan dan kepenyatuan orang-orang Melayu itu sendiri.
“Jangan mengambil ini sebagai satu perkara mudah. Kita teruskan momentum sebagaimana sebelum-sebelum ini sehingga ke hari akhir tempoh berkempen kita nanti, insya-Allah,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang DIpertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
