PRN NS: Mood Pengundi Lebih Positif, Mesra Terhadap BN

REMBAU, 23 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan bahawa ‘mood’ pengundi pada ketika ini lebih positif dan mesra terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.

Ujarnya, perkara tersebut dapat dilihat daripada beberapa siri ziarah kasih yang telah dilakukan sepanjang tempoh berkempen.

“Kami UMNO Bahagian Pengerang telah menjalankan program Ziarah Kasih bersama dengan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota bersama pusat-pusat daerah mengundi yang bertanggungjawab.

“Daripada perbincangan dan pertemuan bersama rakyat, nampak kebanyakannya memberi respons positif dan menyokong BN.

“Saya tengok ‘mood’ hari ini berbeza daripada PRN yang dulu. Dulu kita UMNO/BN lawan banyak calon maka banyak cabarannya. Tetapi kali ini mungkin dalam tiga penjuru itu, tapi saya tengok ‘mood’ pengundi agak lebih positif, lebih mesra dengan BN.

“Saya harap pada hari pengundian kelak, mereka akan terjemahkannya dengan memberi undi kepada BN, insya-Allah,” katanya.

Mengulas mengenai persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan, Azalina berkata beliau melihat wujudnya bentuk persefahaman antara kedua-dua pihak, namun ia lebih kepada ‘understanding’ dan bukannya satu perjanjian rasmi.

“Saya baca daripada apa yang dinyatakan, nampak persefahaman itu, tetapi saya dimaklumkan ia lebih kepada aspek bukan perjanjian, tetapi ‘understanding’.

“Kalau kita tengok pilihan raya yang berlaku di PRN Sabah pun banyak pendekatan yang lebih kurang sama, iaitu mungkin ada sokongan di peringkat Parlimen dan Pusat, tetapi di peringkat negeri tidak menyokong.

“Itu memang satu ‘pattern’ yang berlaku sejak PRN Sabah,” katanya lagi.

Terdahulu pada Selasa, Azalina telah bersama-sama calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Suhaimi Aini mengadakan ziarah kasih rumah ke rumah untuk menyantuni masyarakat di kawasan tersebut. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO