Fasih Berbahasa Mandarin, Isteri Calon Senaling Bantu Kempen BN

KUALA PILAH, 23 Julai – Kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin menjadi kelebihan kepada isteri calon Barisan Nasional (BN), Noorain Atiqah Abdul Karim dalam mendekati pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, kawasan ditandingi suaminya, Mohamad Qayyum Abd Jalil.

Menurut beliau, penguasaan bahasa berkenaan bukan sahaja memudahkan komunikasi, malah membantu mewujudkan hubungan lebih rapat dan mesra bersama pengundi Cina.

“Kelebihan yang saya ada iaitu boleh fasih berbahasa Cina, iaitu Mandarin dapat membantu menarik lebih pengundi Cina untuk mengundi suami saya.

“Bila jumpa pengundi Cina dan cakap bahasa dia, kita rasa lebih akrab dan saya pula memang dah kenal dan tugas saya memperkenalkan Qayyum adalah suami saya.

“Saya fasih kerana daripada tadika, tahun satu sampai enam dan sambung tingkatan satu sampai lima belajar Mandarin. Sangat fasih cuma kini saya tengah mempelajari dialek Kantonis yang lebih banyak digunakan di Hong Kong,” katanya.

Sementara itu beliau memaklumkan hubungan yang terjalin bersama komuniti Cina bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia telah dibina sejak zaman persekolahan.

Katanya lagi, kerjaya beliau sebagai pegawai bank di Kuala Pilah juga turut sama memberi kelebihan kerana telah lama dikenali dalam kalangan masyarakat setempat menerusi urusan perbankan.

“Kalau dulunya saya bersekolah, saya mengenali anak mereka kerana berkawan daripada bersekolah dan selepas itu saya belajar dan bekerja pula bank.

“Jadi orang kata hubungan itu disambung dengan mak ayah pula sebagai pelanggan saya… kami sudah lama ada hubungan dengan pengundi di sekitar sini kerana semua adalah pelanggan saya,” ujar beliau.

Untuk rekod, Qayyum yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah berhadapan saingan tiga penjuru di antara calon Pakatan Harapan dan Bersatu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, manakala pengundian awal pada 28 Julai. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO