Hubungan Baik Dengan Rakyat Beri Kelebihan Kepada Ismail Pertahan Juasseh
KUALA PILAH, 22 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim optimis pengalaman serta hubungan rapat yang dibina bersama masyarakat setempat menjadi kelebihan dalam mendekati pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata, pengalamannya sebagai wakil rakyat sebelum ini membolehkan beliau lebih memahami keperluan penduduk selain memudahkan usaha menyantuni pengundi.
“Ini kali kedua saya bertanding di kawasan ini, sedikit sebanyak mengenali pengundi dan mereka juga mengenali saya… itu merupakan satu kelebihan kepada saya.
“Namun bagi pengundi kali pertama, saya perlu mempergiatkan penyampaian melalui media sosial seperti TikTok, Threads dan platform lain kerana itulah trend semasa.
“Ramai dalam kalangan mereka tidak berada di kampung kerana melanjutkan pengajian di kolej namun saya berharap mereka akan pulang mengundi dan yakin ibu bapa mereka juga akan memainkan peranan menggalakkan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.
Ismail berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada Majlis Taqarrub bersama pengundi sempena PRN Negeri Sembilan di Padang Lebar, di sini.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan PRN kali ini mempunyai suasana yang berbeza berbanding kebiasaan kerana diadakan hanya kira-kira dua tahun selepas pilihan raya terdahulu.
Namun katanya PRN ini merupakan peluang terbaik kepada rakyat untuk memilih parti yang akan menerajui kerajaan negeri.
“Pastinya inilah masanya rakyat menentukan parti politik yang akan membentuk kerajaan negeri. Saya melihat bukan sahaja pengundi Melayu, malah pengundi bukan Melayu juga mahukan perubahan.
“BN sendiri mempunyai parti-parti komponen seperti MCA dan MIC. Saya nampak ada gelombang yang mahu memberi peluang semula kepada BN untuk mentadbir negeri,” katanya.
Ismail pada PRN ini berhadapan saingan tiga penjuru di antara calon Pakatan Harapan dan Bersatu. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
