Kerugian KWAP Amat Serius, Wujudkan Jawatankuasa Khas – Bastien
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn menegaskan kerajaan tidak boleh memandang ringan isu kerugian yang membabitkan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kerana ia melibatkan dana persaraan penjawat awam yang diamanahkan untuk diurus secara berhemah dan penuh integriti.
Menurutnya, kerugian tersebut merupakan isu yang amat serius dan bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya menyentuh masa depan serta kebajikan ratusan ribu penjawat awam yang bergantung kepada simpanan persaraan mereka.
“Kerugian KWAP ini sangat serius kerana ia melibatkan duit persaraan penjawat awam. Kerajaan selaku pemegang amanah harus bertanggungjawab.
“Mesti dicari siapa yang patut bertanggungjawab terhadap kesilapan ini. Jika benar berlaku kelemahan dalam proses pelaburan, tadbir urus atau pengawasan, tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira kedudukan atau jawatan.
“Sebarang kerugian tidak boleh dipandang ringan, pihak yang cuai atau melakukan kesilapan mesti dikenal pasti dan dipertanggungjawabkan. Rakyat berhak mengetahui punca sebenar kerugian ini dan tindakan sewajarnya perlu diambil tanpa mengira kedudukan atau jawatan,” katanya.
Mengulas lanjut kata Bastien, rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap sebuah kerajaan yang menjunjung prinsip kejujuran, amanah dan ketelusan serta segala janji yang dilaungkan tidak boleh sekadar menjadi slogan politik.
“Rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada sebuah kerajaan yang jujur, amanah dan telus. Maka apa yang dilaung, dan apa yang dijanjikan mesti dikota. Penjawat awam sedang memerhati dengan lebih dekat ketelusan mereka.
“Jika kerajaan benar-benar berpegang kepada prinsip integriti, maka apa yang dilaungkan dan dijanjikan mesti dikotakan. Penjawat awam sedang memerhati dengan dekat bagaimana kerajaan mengurus isu ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa sebuah jawatankuasa khas diwujudkan bagi menjalankan siasatan bebas dan menyeluruh untuk mengenal pasti punca kerugian tersebut.
Tambahnya, hasil siasatan itu perlu dibentangkan secara terbuka di Parlimen dan turut dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja sebagai tanda kebertanggungjawaban serta bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan dana awam.
“Satu jawatankuasa khas harus ditubuh bagi mencari dapatan dan punca untuk dibentangkan kepada Parlimen dan Majlis Raja- Raja bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan.
“Ini bukan soal politik semata-mata. Ini soal amanah terhadap wang persaraan penjawat awam. Kebenaran mesti didedahkan, kelemahan mesti diperbetulkan dan pihak yang bersalah mesti dipertanggungjawabkan,” tegasnya. – UMNO Online
