Lot Generasi FELDA: Johor 15 Ribu, Pahang 16 Ribu… Negeri Sembilan 100 Lot Pun Tak Selesai

PERTANG, 22 Julai – Ketua Peneroka FELDA Wilayah bagi Wilayah Raja Alias Datuk Zainal Abidin Ahmad membidas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun kerana masih gagal menyelesaikan isu Lot Generasi FELDA walaupun hanya melibatkan seratus lot.

Katanya, isu pemilikan tanah bagi Lot Generasi FELDA melibatkan kerajaan negeri dan ia berjaya diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Johor dan Pahang yang memperuntukkan berganda-ganda jumlahnya.

“Di Johor 15,000 lot dan 10,000 telah keluar geran dan ada hak milik. Di Pahang 16,000 lot telah lulus dalam proses keluar hak milik. Sebab lot generasi ini adalah kuasa kerajaan negeri, bukan kuasa kerajaan Pusat.

“Apa sebab di Pahang dan Johor jadi? Sebab Menteri Besar dia orang UMNO, ada roh perjuangan FELDA dan ada roh peneroka. Kedua-kedua Menteri Besar itu dalam kawasan mereka ada kawasan FELDA, dekat di hati mereka.

“Negeri Sembilan saya nak bagi tahu, 100 unit sahaja. Yang dibuat oleh Menteri Besar masa PRU (Pilihan Raya Umum) yang lalu di Palong 12 tak jadi pun. Pokok sawit ditebang, dipasang khemah, dilancar dekat situ, tak buat pun,” katanya ketika berucap di ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi (PDM) FELDA Pasoh 1, di sini, Selasa malam.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor Tan Sri Noh Omar.

Seterusnya, Zainal Abidin juga mengulas mengenai kritikan segelintir pihak terhadap Datuk Seri Jalaluddin Alias ketika menjawat jawatan sebagai Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan yang bertanggungjawab terhadap FELDA.

“Jalaluddin hanya Exco FELDA, dia bukan Pengerusi Tanah Negeri Sembilan. Yang menjaga tanah pengerusinya Menteri Besar. Kalau Menteri Besar tak turunkan kuasa kepada dia, memang tak boleh buat.

“Jalaluddin hanya mengurus FELDA, infra dan sebagainya, tidak boleh mengurus tanah,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui itu.

Oleh kerana itu katanya, rakyat khususnya pengundi di kawasan FELDA serta generasi selepasnya mesti mengalahkan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini,

“Sebab itulah hari ini kita di FELDA wajib turunkan Tok Min (Aminuddin Harun) ini untuk menyelesaikan masalah lot generasi FELDA, kalau tak, takkan selesai. Sebab tak ada ‘sehelai rambut’ pun jiwa FELDA dekat dia.

“Sebab itulah hari ini saya mohon, kita di Pasoh dan satu Negeri Sembilan hari ini, kita birukan dengan Barisan Nasional dalam PRN ini,” serunya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO