PRN NS: BN Tampil Sebagai Underdog, Jentera Perlu Perkemas Gerak Kerja, Kempen – Ahmad Zahid

SEREMBAN, 22 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu gerak kerja jentera dan kempen BN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dipertingkatkan dan diperkemaskan.

Mengakui masih belum berpuas hati dengan momentum gerak kerja jentera gabungan itu, beliau yang juga Presiden UMNO berkata usaha kempen perlu ditambah baik kerana BN tampil ke gelanggang PRN itu sebagai “underdog”.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Zahid mengingatkan jentera parti supaya tidak mengambil mudah persaingan di negeri berkenaan, walaupun BN sudah mempunyai pelbagai pengalaman dalam pilihan raya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri bersama warga KEMAS di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata kedudukan sebagai “underdog” seharusnya menjadi pembakar semangat kepada calon dan jentera BN untuk bekerja lebih keras bagi mendapatkan sokongan rakyat.

BN perlu membalas keyakinan dan harapan penyokong dengan memastikan kerja kempen dilakukan secara bersungguh-sungguh, bukan hanya sepanjang tempoh pilihan raya tetapi selepas berjaya membentuk kerajaan negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO