Jangan Campur Adukkan PRN, PRU Dan Kerajaan Pusat – Dr Asyraf

REMBAU, 22 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan semua pihak untuk tidak mencampur adukkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Kerajaan Pusat.

Ini kerana katanya, pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca-PRU ke-15 lalu adalah suatu pemuafakatan untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.

“Apa yang paling penting kita kena saling mengingatkan balik. Kita ada perjanjian, pemuafakatan pembentukan Kerajaan Perpaduan. Saya jelaskan tadi ada dua perjanjian. Perjanjian yang pertama adalah antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH). Perjanjian awal itulah yang membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup majoriti 112, dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan beliau mengangkat sumpah pada 24 November.

“Perjanjian kedua wujud apabila parti-parti lain yang mewujudkan Kerajaan Perpaduan ni, termasuk daripada Sarawak—GPS, GRS, Warisan, dan beberapa ahli-ahli Parlimen yang lain yang turut menyertai Kerajaan Perpaduan selepas daripada Perdana Menteri mengangkat sumpah itu. Kita mewujudkan satu lagi draf perjanjian baharu untuk meraikan rakan-rakan lain yang bersedia untuk mendukung Kerajaan Perpaduan.

“Jadi, asas dalam Kerajaan Perpaduan ini, pertama, ia adalah suatu pemuafakatan bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil demi kesejahteraan dan kemakmuran negara. Maknanya, semua pihak mempunyai peranan untuk membangunkan negara secara bersama sehingga pilihan raya akan datang. Buangkan yang keruh, ambil yang jernih. Letak ke tepi soal perbezaan-perbezaan.

“Pentingnya ada syarat-syarat dan parameter yang perlu disepakati. Jangan sentuh perkara-perkara sensitif berkenaan dengan Islam, kedudukan Melayu, Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu. Pada masa yang sama, hak dalam Perlembagaan kepada semua kaum mesti diraikan dan dihormati. kalau itulah parameternya, semua akan terus kekal stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas menyampaikan ceramah penerangan di pusat daerah mengundi (PDM) Sungai Timun, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi MARA berkata, perjanjian tersebut perlu disepakati sehingga menjelang PRU yang seterusnya.

“Sampai bilakah perjanjian ini? Sehingga pilihan raya. Apabila menjelang pilihan raya, maka terlerailah perjanjian tersebut. Maknanya, tidak ada siapa pun di dalam Kerajaan Perpaduan boleh menafikan sumbangan mana-mana parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Soal PRN, itu kita jangan campur adukkan dengan soal PRU ataupun soal Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat. Kalau semua dapat memahami konteks ini, jadi tak perlu pun kita menyerang secara melampau hingga membuat fitnah. PRN itu kita jangan campur adukkan dengan soal PRU ataupun soal Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

“Kalau semua dapat memahami konteks ini, maka tak perlu pun kita menyerang secara melampau hingga membuat fitnah. PRN itu kita jangan campur adukkan dengan soal PRU ataupun soal Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat. Kalau semua dapat memahami konteks ini, jadi tak perlu pun kita menyerang secara melampau hingga membuat fitnah.

“Contohnya seperti mana di Johor. Undi BN, maka akan lebih besarlah sakau-menyakau berlaku. Maka Datuk Seri Najib akan bebas. Kita kan dalam satu kerajaan ni. Kalau betul sakau-menyakau berlaku, kenapa tak ambil tindakan? Ini kan fitnah kalau hanya bersifat tohmahan, kalau kamu tidak ambil tindakan,” katanya lagi.

Tambah beliau, naratif yang dimainkan oleh PH mengenai akan berlaku pertukaran Yang di-Pertuan Negeri Sembilan sekiranya BN menang adalah tidak masuk akal sama sekali.

“Kita tidak ada masalah kalau betul ada ketirisan, rasuah dan sebagainya … ambil tindakan. Bukan sahaja di peringkat BN, tetapi juga di peringkat kamu, ya. Sebab ini adalah perkara yang kita jangan hanya memainkan sentimen murahan hanya untuk meraih undi.

“Sebab itulah kita rasa sama juga di Negeri Sembilan. Jangan pula buat fitnah seolah-olah akan berlaku… BN akan tukar Yang di-Pertuan. Apakah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ini ditentukan oleh keputusan pilihan raya?

“Ini tak logik akal, bukan ada dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan… bukan ada dalam Perlembagaan dan sebagainya. Jadi, inilah perkara yang bagi saya mesti kita jaga disiplin seperti mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebutkan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO