Blok Baharu MMC Perkukuh Melaka Sebagai Hab Pelancongan Kesihatan – Ab Rauf
MELAKA, 21 Julai – Pembinaan blok baharu Mahkota Medical Centre (MMC) bukan sahaja meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan di negeri ini, malah memperkukuhkan lagi kedudukan Melaka sebagai destinasi utama pelancongan kesihatan di negara ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, majlis pecah tanah projek pembangunan tersebut menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha mentransformasikan landskap perkhidmatan kesihatan negeri sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap sektor berkenaan.
“Majlis pecah tanah ini bukan sekadar menandakan bermulanya pembinaan sebuah blok hospital baharu, tetapi menjadi titik penting dalam usaha kita mentransformasikan landskap perkhidmatan kesihatan negeri. Ia mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi Melaka serta komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan kesihatan bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas Majlis Pecah Tanah Blok Baharu Mahkota Medical Centre di sini, hari ini.
Menurut beliau, blok hospital baharu setinggi 10 tingkat yang dijangka siap pada tahun 2028 itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk Smart Ward ICU, ruang parkir yang lebih luas serta fasiliti baharu yang mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan pelancong.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf memaklumkan sehingga Jun 2026, Melaka merekodkan seramai 339,398 pelancong kesihatan, dengan Mahkota Medical Centre menerima 127,216 pelancong, iaitu hampir 37.5 peratus daripada keseluruhan jumlah tersebut.
“Pencapaian ini membuktikan Melaka semakin diyakini sebagai destinasi pilihan pelancongan kesihatan. Kerajaan negeri akan terus memperkukuh ekosistem pelaburan agar lebih banyak projek strategik seperti ini dapat direalisasikan demi manfaat rakyat dan pembangunan ekonomi negeri,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa peluasan hospital berkenaan dijangka meningkatkan jumlah tenaga kerja dalam bidang kejururawatan dan kesihatan bersekutu antara lima hingga 10 peratus, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan serta memperkukuhkan kesinambungan tenaga mahir dalam sektor kesihatan.

“Inilah bukti bahawa apabila negeri berada dalam keadaan stabil, pelaburan terus berkembang, peluang pekerjaan semakin bertambah dan kemakmuran dapat dinikmati bersama. Kerajaan Negeri Melaka akan terus memastikan negeri ini kekal menjadi destinasi pilihan pelabur, manakala rakyat terus menikmati manfaat hasil pembangunan yang dirancang,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Mahkota Medical Centre, HMI Medical serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembangunan tersebut dan berharap projek berkenaan akan memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat serta memperkukuhkan lagi kedudukan Melaka sebagai hab perkhidmatan kesihatan bertaraf antarabangsa. – UMNO Online
