JIM Perlu Jadi Pemudah Cara Ekonomi, Perkukuh Keselamatan Negara – Ahmad Zahid

CYBERJAYA, 21 Julai – Empat mandat digariskan sebagai kompos strategik untuk menjadikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebagai jabatan yang relevan, diyakini dan dihormati kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mandat itu adalah JIM menjadi pemudah cara kepada pertumbuhan ekonomi negara; memperkukuhkan keselamatan dan kedaulatan negara mempercepatkan transformasi digital dan inovasi perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, profesionalisme dan nilai kemanusiaan.

Ahmad Zahid berkata transformasi JIM tidak boleh berlaku secara berselerak dan ia juga tidak boleh bergantung kepada inisiatif yang bergerak secara berasingan atau perubahan yang bersifat sementara.

“Transformasi memerlukan satu hala tuju yang jelas. Satu falsafah yang dikongsi bersama dan satu tekod yang diterjemahkan dalam setiap dasar, setiap sistem dan setiap tindakan.

“Sebab itulah saya percaya, perjalanan JIM ke hadapan mesti dipandu oleh Empat Mandat, Satu Arah Transformasi Imigresen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Imigresen 2026 bertemakan ‘Melakar Wajah Baharu Imigresen’, di sini, hari ini, yang dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.

Mengenai mandat pertama, beliau berkata JIM kini bukan sekadar mengawal pintu masuk negara tetapi perlu menjadi pemudah cara kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Setiap kelewatan yang tidak perlu, setiap proses yang terlalu rumit dan setiap birokrasi yang berlebihan akhirnya memberi kesan kepada daya saing negara. Kita ambil contoh UAE menyepadukan dasar imigresen dengan strategi menarik pelaburan dan bakat global melalui program Golden Visa sehingga 10 tahun.

“Pendekatan ini turut menyumbang kepada rekod pelaburan langsung asing sebanyak RM196.6 bilion pada 2025, sekali gus meletakkan UAE di kedudukan kesembilan dunia sebagai destinasi pelaburan asing bogi tahun keempat berturut-turut,” katanya.

Bagi mandat memperkukuhkan keselamatan dan kedaulatan negara, Ahmad Zahid berkata penguatkuasaan JIM tidak lagi boleh hanya bersifat reaktif tetapi mesti dipacu oleh risikan, data dan teknologi serta dilaksanakan melalui kerjasama yang lebih erat antara semua agensi penguatkuasaan negara.

“Keselamatan hari ini tidak lagi sama seperti sedekad yang lalu. Ancaman kini bergerak merentasi sempadan tanpa mengenal waktu. Sindiket penyeludupan migran semakin tersusun. Pemerdagangan orang menjadi semakin kompleks,” katanya.

Beliau berkata masa depan pengurusan JIM juga mesti dipacu oleh penggunaan data raya, kecerdasan buatan, analitik ramalan, identiti digital, biometrik serta sistem sempadan pintar yang membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas, lebih tepat dan lebih selamat.

“Saya mahu JIM menjadi sebuah organisasi yang memanfaatkan teknologi bukan sekadar untuk bekerja dengan lebih pantas, tetapi untuk berfikir dengan lebih bijak, bertindak dengan lebih tepat dan memberikan perkhidmatan bertaraf dunia,” katanya.

Mengulas mandat terakhir, Ahmad Zahid berkata semua warga JIM diseru mematuhi prosedur serta bijaksana membuat pertimbangan yang betul dan keberanian melakukan perkara yang benar.

“JIM dikenali bukan sahaja kerana ketegasannya menguatkuasakan undang-undang tetapi juga kerana profesionalisme, integriti dan nilai kemanusiaan diterapkan dalam jabatan itu.

“Dan apabila keempat-empat mandat ini dilaksanakan secara menyeluruh, kita bukan sekadar membina sebuah jabatan yang lebih cekap, ia akan melakar wajah baharu JIM sebagai sebuah institusi strategik yang menjadi benteng kedaulatan negara, pemangkin daya saing ekonomi dan simbol kepercayaan rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak mewakili Bernama menerima anugerah apresiasi media JIM disampaikan Ahmad Zahid. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO