Pembangunan Tersusun Penuhi Keperluan Penduduk Fokus Sufian Di Seri Menanti
KUALA PILAH, 21 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi memaklumkan manifesto beliau memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu pendidikan, kerohanian dan pembangunan berstruktur.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata aspek pendidikan diberi keutamaan memandangkan Seri Menanti merupakan kawasan kampung tradisi yang memerlukan generasi muda dibekalkan ilmu sebagai persediaan menghadapi masa depan.
“Seri Menanti adalah kampung tradisi jadi saya menekankan pendidikan untuk anak-anak, kerana dengan pendidikan inilah yang akan memberi manfaat untuk mereka di sini apabila mereka semakin dewasa kelak.
“Tambahan pula dengan pelbagai inisiatif yang dibuat oleh kepimpinan kita termasuk pendidikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk majukan anak-anak,” katanya.
Muhammad Sufian berkata demikian ketika ditemui UMNO Online ketika Sesi Santai Bersama Pemuda sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Gunung Pasir.
Dalam aspek pembangunan pula, beliau berkata Seri Menanti yang dikenali sebagai tanah beradat memerlukan pembangunan yang tersusun serta memenuhi keperluan sebenar penduduk, bukannya pembangunan yang bersifat pesat seperti di bandar besar.

“Apa yang penting ialah pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat daripada aspek ekonomi, perpaduan dan kemudahan asas seperti bekalan air, jalan raya serta elektrik supaya tiada kawasan yang tercicir.
“Di sini ada dua kampung Orang Asli iaitu Langkap dan Ulu Mampas. Kami tidak mahu mereka ketinggalan, alhamdulillah di Ulu Mampas sudah ada bekalan elektrik, bekalan air masih lagi belum sesempurna tapi kita ikhtiar apa yang terbaik.
“Manakala di Langkap ini alhamdulillah hampir 70 peratus bekalan air telah kita selesaikan bersama dengan Syarikat Air Negeri Sembilan dan Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah untuk memastikan bahawa mereka juga merasai apa yang dirasai oleh masyarakat yang lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi memberikan mandat kepada BN untuk terus menerajui Kerajaan Negeri Sembilan bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Sepanjang lebih enam dekad mentadbir, kita tidak pernah gagal membawa pembangunan kepada rakyat.
“Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang, sebaliknya menawarkan kestabilan dan kemakmuran demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Untuk rekod Muhammad Sufian pada PRN kali ini berhadapan dengan saingan tiga penjuru daripada calon Pakatan Harapan dan Bersatu.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 1 Ogos, manakala pengundian awal diadakan pada 28 Julai. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
