PRN NS: Calon Diketengah BN Mampu Bawa Suara Rakyat – Shahrizat
KUALA PILAH, 21 Julai – Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO (Hawa), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berbesar hati turun padang ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ke beberapa rumah di sekitar kawasan ini bagi memperkenal calon yang diketengah BN, S Leza Md Yasin.

Ziarah kasih tersebut juga turut disertai isteri Pengerusi BN, Datin Seri Hamidah Khamis. Antara lokasi yang dikunjungi termasuk Ampang Linggi, Kampung Jawa dan Pekan Lama.
Di samping memperkenalkan calon, ziarah tersebut turut menjadi platform untuk mendekati masyarakat serta mendengar sendiri pandangan dan keperluan mereka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Sementara itu, Shahrizat ketika ditemui UMNO Online berkata segala pandangan yang diterima akan disalurkan kepada calon BN supaya dapat diberi perhatian.
“Kita bukan datang semata-mata untuk berkempen, tetapi kita mahu mendapatkan isu-isu rakyat. Sebagai wakil BN dan Wanita UMNO, kita akan membawa segala isu yang dibangkitkan penduduk kepada calon-calon untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kesyukuran dengan sambutan mesra yang diterima daripada penduduk setempat yang sekaligus mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan BN.
“Ramai yang kita temui hari ini menaruh harapan tinggi kepada calon BN. Mereka percaya calon BN mampu membela nasib rakyat dan meneruskan agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan ini.
“Mereka juga menyatakan keyakinan bahawa sekiranya diberi mandat, calon-calon BN akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat dan memastikan pembangunan di Pilah dapat diteruskan,” ujarnya.
Turut hadir pada ziarah kasih tersebut Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah yang juga Ahli Parlimen Datuk Adnan Abu Hassan. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
