Kerjasama Padu Jentera BN, Strategi Yang Tepat Resepi Rampas DUN Bahau
BAHAU, 21 Julai – Kerjasama erat antara parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), khususnya gandingan MCA dan UMNO di semua peringkat, menjadi pemangkin kepada keyakinan BN untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN Bahau) Chong Fui Ming berkata, kekuatan jentera yang digerakkan secara bersepadu membuktikan semangat kebersamaan dalam BN terus utuh demi memastikan kemenangan di kerusi berkenaan yang kali terakhir dimenangi pada 2004.

Menurut beliau, selain kerjasama UMNO Bahagian Jempol, kempen BN di Bahau turut diperkukuhkan dengan bantuan jentera dari Pahang dan Bahagian Pagoh yang membawa pengalaman serta strategi kempen berkesan.
“Pada pilihan raya kali ini, MCA bekerjasama rapat dengan UMNO Bahagian Jempol dan turut menerima bantuan daripada UMNO Pahang serta UMNO Bahagian Pagoh.
“Semangat kemenangan BN di Johor serta strategi yang digunakan di sana boleh kita bawa ke Negeri Sembilan. Kerjasama inilah yang memberikan keyakinan kepada kami untuk menghadapi pilihan raya kali ini,” katanya kepada UMNO Online.
Terdahulu, Chong mengadakan pertemuan bersama jentera angkat daripada UMNO/BN Pagoh yang diketuai Datuk Ismail Mohamed, serta turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong Ahmad Syar’e Yusof, ADUN Tangkak Datuk Datuk Haw Chin Teck dan barisan kepimpinan UMNO Bahagian Jempol.

Beliau turut memaklumkan bahawa pengalaman MCA Tangkak yang berjaya merampas kerusi majoriti pengundi Cina daripada Dap pada PRN Johor sebelum ini akan dimanfaatkan bagi memperkukuh gerak kerja kempen di Bahau.
Dalam masa sama, Chong menjelaskan kemenangan BN di Bahau bergantung kepada sokongan semua kaum memandangkan kawasan itu mempunyai lebih 25,000 pengundi dengan kira-kira 58 peratus terdiri daripada masyarakat Cina.
Katanya, berdasarkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan, BN menyasarkan sokongan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pengundi Cina, 50 peratus pengundi India dan 70 peratus pengundi Melayu.
“Atas kerjasama ini saya yakin bukan sesuatu perkara yang mustahil untuk BN menawan DUN Bahau ini,” katanya. – UMNO ONLINE
