Program Jelajah Bukti Komitmen Kerajaan Negeri Bela Kebajikan Rakyat – Rais

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor menjadi bukti jelas komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam memastikan setiap aduan dan keperluan rakyat diberi perhatian serta tindakan yang sewajarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, pendekatan turun padang menerusi program seumpama itu membolehkan kerajaan mendengar sendiri denyut nadi rakyat sekali gus menyampaikan penyelesaian yang lebih berkesan terhadap isu-isu yang dihadapi masyarakat.

Beliau yang hadir ke program berkenaan yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut menyaksikan penyerahan sumbangan bantuan baik pulih rumah kepada Anthony Lim di Seri Tanjung serta pelaksanaan Program Ziarah Kasih yang mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Tahniah dan syabas kepada seluruh jentera kerajaan yang sentiasa komited memastikan kebajikan dan keperluan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Semoga semangat Melaka Sayang Rakyat terus diperkukuhkan melalui usaha turun padang dan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sejurus selesai program berkenaan, Rais bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menggerakkan dua lori tangki berkapasiti 5,000 liter ke Kem Terendak bagi membantu memastikan keperluan bekalan air warga kem dan penduduk sekitar terus terjamin susulan gangguan bekalan air yang berlaku baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan segera itu diambil susulan kebocoran paip utama berdiameter 700 milimeter di Jalan Kampung Payasum, Sungai Udang yang menjejaskan bekalan air di Kem Terendak, Kem Sungai Udang serta beberapa kawasan sekitar melibatkan kira-kira 3,690 pengguna.

Menurutnya, pihak SAMB telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan segera selain menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi pengguna.

Pada masa sama, beliau memaklumkan Projek Pembinaan dan Naik Taraf Sistem Retikulasi Air di Kem Terendak bernilai RM36.63 juta yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka dijangka siap pada tahun 2028 sebagai penyelesaian jangka panjang bagi memperkukuhkan sistem agihan bekalan air di kawasan berkenaan.

Rais turut berharap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Kerja Raya, SAMB dan Angkatan Tentera Malaysia akan terus diperkukuhkan demi memastikan bekalan air yang lebih stabil, berkualiti dan berdaya tahan untuk manfaat seluruh warga Kem Terendak pada masa hadapan.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO