Jangan Politikkan Isu Tanah Orang Asli Kampung Cot – Shahaniza

MARAN, 21 Julai – UMNO Pahang menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu pertikaian tanah yang melibatkan masyarakat Orang Asli di Kampung Cot, Mukim Luit, Daerah Maran, sebaliknya beri kepercayaan kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk menyelesaikannya.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Pahang berhubung isu berkenaan telah memberikan penjelasan yang menyeluruh berdasarkan fakta, rekod rasmi dan kedudukan undang-undang, sekali gus menjawab pelbagai dakwaan yang tular di media sosial.

“UMNO Pahang berpandangan bahawa isu yang melibatkan masyarakat Orang Asli tidak wajar dipolitikkan atau dimanipulasi bagi meraih perhatian serta keuntungan politik. Kebajikan, hak dan masa depan masyarakat Orang Asli adalah perkara yang mesti ditangani secara bertanggungjawab, bukan melalui persepsi, emosi atau maklumat yang tidak lengkap.

“Rekod kerajaan negeri membuktikan bahawa komitmen terhadap masyarakat Orang Asli bukanlah bersifat bermusim, malah dilaksanakan secara konsisten melalui pelbagai dasar dan inisiatif termasuk pewartaan tanah rizab Orang Asli, pemberian hak milik tanah, pembinaan Rumah Rakyat Pahang Orang Asli, bantuan pendidikan, bantuan kebajikan serta pelaksanaan pelbagai program pembangunan sosioekonomi menerusi ORACO (Pahang Orang Asli Corporation),” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai isu Kampung Cot Dalam isu Kampung Cot, kerajaan negeri juga tidak pernah menutup ruang perbincangan.

“Sebaliknya, pelbagai siri libat urus telah diadakan bersama JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, Pejabat Daerah dan Tanah serta pihak-pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik yang menghormati undang-undang serta menjaga kebajikan individu yang terlibat,” kata Shahaniza yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Justeru katanya, sebagai parti yang menjadi tunjang kerajaan negeri, UMNO Pahang menyeru semua pihak agar menghormati proses yang sedang berjalan dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat atau membangkitkan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum.

“Dalam masa yang sama, UMNO Pahang berharap usaha mencari jalan penyelesaian yang adil akan terus diperkasakan melalui pendekatan musyawarah, ihsan dan semangat muafakat tanpa mengabaikan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Kita yakin di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, kerajaan negeri akan terus mengimbangi antara pembangunan, pemeliharaan hak masyarakat Orang Asli serta kepentingan semua pihak secara adil dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut mengajak seluruh masyarakat supaya mengutamakan fakta, menghormati institusi serta memberi ruang kepada agensi-agensi berkaitan melaksanakan tanggungjawab mereka secara profesional demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Negeri Pahang. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO