WRUR Tangga Batu Terus Dekati Rakyat, Tangani Isu Akar Umbi
MELAKA, 20 Julai – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Parlimen Tangga Batu memasuki dua fasa terakhir dengan lebih 200 program akan dilaksanakan dalam tempoh tiga minggu bagi menyantuni masyarakat serta mempercepat penyelesaian isu pada peringkat akar umbi.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor dan DUN Paya Rumput dengan pelaksanaan program meliputi aspek kebajikan, pembangunan komuniti, pendidikan, belia, keusahawanan serta penyelesaian isu setempat.

“WRUR bukan program baharu atau gerak kerja bermusim sebaliknya kesinambungan pendekatan turun padang yang konsisten sejak dua tahun lepas,” katanya semasa berucap merasmikan Program WRUR Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita dan DUN Pantai Kundor di sini hari ini.
Ab Rauf berkata menerusi 23 siri pelaksanaan sebelum ini, lebih 4,000 aduan diterima dengan hampir 70 peratus daripada jumlah itu berjaya diselesaikan.
Beliau berkata kerajaan negeri juga terus memperkukuh pendekatan turun padang menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bagi memastikan setiap isu dibangkitkan rakyat diberi perhatian dan disusuli tindakan sewajarnya.
Siri keenam jelajah itu di Pantai Kundor hari ini, melibatkan lebih 20 jenis bantuan berjumlah RM150,000 disalurkan antaranya RM22,000 kepada 220 nelayan, RM1,500 kepada lima pemilik bot terlibat kejadian bot karam serta bantuan peralatan perniagaan bernilai RM14,000 kepada 10 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).
“Kerajaan negeri turut menyampaikan sumbangan kepada institusi pendidikan agama, rumah ibadat, pelajar dan pemilik rumah yang memerlukan,” katanya.
Berhubung banjir kilat yang menjejaskan 73 rumah dalam DUN Pantai Kundor baru-baru ini, Ab Rauf berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan kerja pembersihan dan pendalaman Sungai Seberang Gajah membabitkan kos RM50,000 dengan jangkaan siap pada minggu depan.
Selain itu, JPS juga dalam proses perolehan bagi melaksanakan tindakan serupa di Sungai Lereh dengan kos RM100,000 manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf struktur crossing culvert di Jalan Tangga Batu-Tanjung Minyak yang dianggarkan RM16 juta. – BERNAMA
