PN Beri Sokongan Total Kepada BN, Jalaluddin Hargai Semangat Kerjasama
PERTANG, 20 Julai – Pengerusi Badan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias menzahirkan penghargaan kepada Perikatan Nasional (PN) atas sokongan penuh yang diberikan kepada beliau serta semua calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut beliau yang juga penyandang dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, semangat kerjasama yang dipamerkan kedua-dua parti itu menjadi asas penting dalam menawarkan pentadbiran negeri yang lebih stabil dan berkesan kepada rakyat.

“Saya berterima kasih kepada Perikatan Nasional yang memberikan sokongan total kepada saya sebagai calon Barisan Nasional dan juga kepada semua calon Barisan Nasional yang bertanding di 25 kerusi di seluruh Negeri Sembilan.
“Dan dalam masa yang sama juga, saya sebut sekali lagi bahawa pendukung dan penyokong Barisan Nasional tentunya akan memberi sokongan total juga kepada semua 11 calon Perikatan Nasional yang bertanding di seluruh Negeri Sembilan,” katanya.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata demikian kepada media sebaik selesai Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon DUN Pertang di Bilik Gerakan BN DUN Pertang di sini, Ahad malam.
Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad dan Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Presiden MyPPP Datuk Dr. Loga Bala Mohan Jaganathan dan Pengerusi PN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.
Turut hadir Pengerusi MIC Negeri Sembilan P. Supramaniam dan Yang Dipertua Pas Jelebu Mohd Nordin Hasim.

Seterusnya, jelas Jalaluddin, kerjasama yang terjalin antara BN dan PN merupakan satu permulaan kepada persefahaman politik yang diyakini mampu menghasilkan keputusan cemerlang pada hari pengundian.
“Ini adalah merupakan satu permulaan kerjasama ataupun persefahaman di antara PN dan BN yang pastinya akan menghasilkan keputusan yang luar biasa pada 1 hari bulan nanti.
“Saya mengharapkan supaya mandat besar, keyakinan daripada rakyat daripada pelbagai kaum dan bangsa bahawa ini adalah merupakan satu wawasan, penjajaran baru yang bakal mengisi dan menguruskan kerajaan negeri dalam keadaan yang penuh teratur, sistematik, dan yang penting sekali meletakkan kepentingan masyarakat dan kestabilan negeri itu sebagai satu keutamaan,” katanya.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri yang mengingatkan menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya melepaskan jawatan sekiranya menyerang Kerajaan Perpaduan ketika berkempen, Jalaluddin menjelaskan beliau tidak termasuk dalam kelompok yang dimaksudkan.
“Saya bukan menteri dan saya juga bukan timbalan menteri. Tentunya kalau kita ikuti kempen yang telah saya lakukan bersama dengan kawan-kawan, tidak langsung mengusik soal yang berkaitan dengan pemimpin-pemimpin daripada parti yang lain.
“Kita membawa satu wawasan dan hala tuju untuk meneruskan khidmat sebaik mungkin bagi memberikan ‘option’ atau alternatif kepada rakyat untuk menguruskan kerajaan negeri selepas 1 haribulan Ogos nanti,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa pimpinan BN tidak tersasar daripada landasan kempen yang berhemah dan berfokus kepada agenda rakyat.
“Saya tidak fikir bahawa pemimpin-pemimpin Barisan Nasional tersasar ketika waktu kempen ini. Tetapi walau bagaimanapun, saya bukan menteri dan saya bukan timbalan menteri, maka saya terkecuali daripada amaran Yang Amat Berhormat Perdana Menterilah.
“Dan pada pandangan saya, pelantikan jawatan menteri dan timbalan menteri termasuk pemimpin-pemimpin GLC (syarikat berkaitan kerajaan) ini adalah prerogatif ataupun keutamaan yang ada di dalam bidang kuasa Perdana Menteri,” katanya. – UMNO ONLINE
