Mohd Najib Yakin Kerjasama Jentera Beri Kemenangan Di Bagan Pinang

PORT DICKSON, 20 Julai – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Mohd Najib Mohd Isa yakin jentera di Bagan Pinang memahami hala tuju dan matlamat persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, meskipun BN tidak meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, seluruh jentera telah diberikan penjelasan supaya memberikan sokongan penuh kepada calon PN sebagai rakan persefahaman dalam usaha membentuk kerajaan negeri.

“Saya dah jumpa semua jentera dan semua Pusat Daerah Mengundi (PDM). Mesejnya jelas iaitu kita memberi sokongan kepada PN yang menjadi rakan kita sekarang untuk sama-sama membantu mereka mencapai kemenangan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri perlawanan bola sepak persahabatan di antara pasukan diketuai Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan pasukannya di Bagan Pinang, Ahad petang.

Menurut Mohd Najib, program tersebut diadakan dalam suasana santai sebagai medium merapatkan hubungan bersama masyarakat setempat, khususnya pengundi di DUN Bagan Pinang.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa jentera di kawasan itu juga memahami matlamat utama persefahaman BN dan PN, iaitu membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan mampu mentadbir negeri dengan baik.

“Tujuan kita bersama-sama adalah untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang tertib dan mampu mengurus segala permasalahan serta isu di negeri ini dengan baik.

“Atas konteks itu, saya percaya jentera faham matlamat yang ingin kita capai dan akan bekerjasama bagi merealisasikannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau optimis gabungan BN dan PN mampu mencipta kemenangan pada PRN kali ini.

“Memang kita nak birukan Negeri Sembilan kali ini dan Insya-Allah memang akan dibirukan terus sampai bila-bila,” katanya.

“Saya yakin dan percaya jentera akan memberikan sepenuh tenaga dan kerjasama dalam usaha memenangkan calon Perikatan Nasional di Bagan Pinang.

“Matlamat akhirnya ialah untuk membentuk sebuah kerajaan BN/PN tanpa Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO