Maira Tekad Rampas DUN Labu, Ketengahkan Suara Rakyat Setempat

SEREMBAN, 20 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Siti Nur Umaira Hasim bertekad untuk merampas kerusi tersebut dari PPBM dan akan berusaha mengetengahkan suara rakyat di kawasan tersebut.

Ujarnya, beliau teruja apabila diberikan kesempatan oleh pucuk pimpinan untuk mewakili parti sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada kali ini.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerana telah memberi amanah dan tanggungjawab kepada saya untuk menjadi calon di kerusi N20 Labu.

“Jadi, saya perlu menggalas tanggungjawab dan menjalankan amanah ini sebaik-baiknya. Saya perlu melakukan dengan lebih baik dan menyusun segala strategi untuk menang di N20 Labu.

“Saya tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, tapi saya akan mengambil tahu isu-isu yang berlaku dan memastikan suara rakyat didengari di samping mengetengahkan segala isu di Labu,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh jentera BN agar berganding bahu dan bekerja keras sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan kemenangan dapat diraih di DUN Labu.

Menurutnya, selepas dua penggal kerusi tersebut tidak dimenangi BN, beliau bertekad untuk merampas semula kerusi berkenaan sekali gus membawa suara rakyat Labu dengan lebih berkesan dalam sidang DUN.

“Saya sangat-sangat teruja kerana sudah dua penggal Labu tidak mempunyai wakil daripada BN. Jadi, saya mesti menang di Labu untuk merampas kembali kerusi BN di sini dan membawa suara Labu lebih didengari,” katanya.

Beliau turut mengakui kemenangan itu tidak mampu dicapai secara bersendirian, sebaliknya memerlukan komitmen dan sokongan padu daripada seluruh jentera serta Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Labu.

“Saya tahu semua perlu bekerja keras untuk memenangkan saya di sini. Saya tidak boleh bergerak seorang diri dan saya perlukan bantuan serta sokongan semua jentera daripada setiap PDM di DUN Labu,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang DIpertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO