PRN NS: S Leza Optimis ‘Birukan’ DUN Pilah
KUALA PILAH, 20 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, S Leza Md Yasin optimis sokongan padu jentera parti mampu membantu BN merampas kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau malah meluahkan keterujaan apabila melihat semangat yang ditunjukkan jentera pada penamaan calon Sabtu lalu yang memperlihatkan kesungguhan untuk memastikan kemenangan BN di DUN berkenaan.
“Alhamdulillah, semua jentera dan warga di DUN ini memberikan semangat yang luar biasa.
“Kita mahu melihat DUN ini kembali ‘dibirukan’,” katanya ditemui UMNO Online ketika majlis pengenalan calon di Pusat Daerah Mengundi Kampung Parit, Sabtu malam.
Mengulas mengenai pengalaman politiknya, S Leza berkata pengalaman sebagai Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah selama tiga penggal memberi kelebihan kepada beliau.
Beliau turut memaklumkan aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang memfokuskan kebajikan masyarakat dan kanak-kanak.
Antaranya memegang jawatan sebagai Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sri Menanti sejak 2011 yang membantu golongan orang kurang upaya (OKU).
“Selama ini saya sentiasa bersama masyarakat di peringkat akar umbi. Setiap kali ada program, kita akan bersama mereka dan hubungan itu telah lama terjalin, khususnya bersama wanita di cawangan-cawangan.
“Saya juga mengenali masyarakat melalui pelbagai platform yang saya sertai dan ini memudahkan saya mendekati mereka.
“Harapan saya kepada seluruh warga DUN Pilah memberi sokongan dan mengundi saya supaya kita dapat bersama-sama membawa pembangunan yang lebih baik untuk kawasan ini,” katanya.
S Leza pada PRN ini berhadapan saingan dua penjuru dengan calon Pakatan Harapan yang juga penyandang bagi kerusi ini. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
