PRN NS: Politik Dinamik Tuntut Strategi Dan Jajaran Baharu – Ahmad Zahid
JEMPOL, 19 Julai – Landskap politik negara yang semakin dinamik memerlukan semua parti menyusun strategi dan jajaran baharu bagi menjamin kestabilan politik, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 akan dijadikan model percubaan sebelum diputuskan sama ada pendekatan itu wajar diteruskan pada PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kita akan lihat prestasinya di Negeri Sembilan terlebih dahulu. Oleh kerana politik ini adalah sangat dinamik, maka kita akan menyusun jajaran yang diperlukan untuk Melaka dan juga negeri-negeri lain kelak, apatah lagi kalau kita mahu menghadapi PRU ke-16 nanti,” katanya kepada pemberita selepas Program Gerakan Massa Masyarakat Desa 2026 (Gema@KKDW) peringkat Negeri Sembilan di Felda Palong 8 di sini, Sabtu.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Seri Norliza Abdul Rahim kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Datuk Mohd Hanafiah Man pada program Gema@KKDW 2026 peringkat Negeri Sembilan di Palong 8 hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata persefahaman itu bukan bermaksud kedua-dua gabungan membentuk kerjasama politik secara rasmi sebaliknya mengelak pertembungan yang boleh memecahkan undi.
“Tidak ada sebarang perjanjian yang mengikat kedua-dua parti gabungan ini, tetapi persefahaman supaya tidak berlaku pertindihan di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh BN ataupun PN,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos. – BERNAMA
