Pilih BN Untuk Pastikan Kesejahteraan Rakyat Terbela – Zaifulbahri

REMBAU, 19 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris menyeru rakyat di Negeri Sembilan untuk memilih BN demi memastikan kesejahteraan rakyat terbela.

Ujarnya, kesejahteraan rakyat diukur dari pelbagai aspek termasuklah ekonomi, pendidikan, kebajikan dan pembangunan.

“…yang paling tinggi objektifnya (pilih BN) adalah untuk memastikan rakyat sentiasa berada dalam kesejahteraan. Kesejahteraan ini dalam banyak sudut seperti ekonominya, pendidikan, kebajikan, pembangunan dan lain-lain lagi.

“Selepas rakyat memberikan kepercayaan ataupun peluang kepada banyak pihak, akhirnya daripada pandangan dan juga pendapat orang ramai, BN lah yang paling baik untuk kembali mensejahterakan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Tambahnya, kemenangan BN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu petanda bahawa rakyat di seluruh negara merindukan pentadbiran BN.

“Memang salah satu faktor gelombang baik (kemenangan BN di PRN Johor)… momentum itu datang ke Negeri Sembilan. Tetapi ia bukan sahaja bagi memberi semangat kepada pihak jentera parti BN, tapi ia adalah salah satu perlambangan pada pendapat saya.

“Secara umumnya, rakyat jelata tak kira di negeri mana pun, di seluruh Malaysia, merindukan pentadbiran BN,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menyeru rakyat di Negeri Sembilan untuk membuat pilihan yang tepat demi masa depan mereka.

“Pilihan raya adalah salah satu proses demokrasi sangat baik untuk menentukan siapa yang diberikan kepercayaan untuk mengurus, mentadbir, menjadi kerajaan bagi menguruskan rakyat jelata.

“Jadi, pilihlah yang terbaik. Kalau salah pilih, mudaratnya pada kita. Kalau betul pilihannya, manfaatnya juga kepada kita. Pilihan raya ini adalah bertujuan untuk memberikan pilihan kepada rakyat sendiri. Maka, buat pilihan yang tepat,” katanya lagi.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang DIpertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO