Jentera BN Mesti Kerja Keras, Pastikan Gelombang Biru Mara Di Negeri Sembilan
JELEBU, 18 Julai – Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru seluruh jentera Barisan Nasional (BN) supaya bekerja tanpa mengenal penat lelah sepanjang tempoh 14 hari berkempen bagi memastikan kemenangan parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut Naib Presiden UMNO itu, kemenangan hanya akan dapat dicapai sekiranya seluruh jentera turun padang secara menyeluruh, menemui seramai mungkin pengundi dan memastikan mereka keluar mengundi pada hari pengundian.

“Kita ada masa 14 hari untuk berkempen. Saranan saya, jentera-jentera parti jangan tidur dalam tempoh ini. Kerja siang dan malam. Kalau nak menang, kena buat cara nak menang. Pergi semua rumah, jumpa seramai mungkin pengundi. Insya-Allah, kita akan menang.
“Untuk itu, tuan-tuan kena kerja kuat. Kena lawan habis-habisan. Dalam apa juga keadaan, jangan mengalah dan jangan berputus asa. Pastikan pengundi putih keluar mengundi awal dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan jentera dan penyokong BN selepas selesai proses penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Jelebu, hari ini.
Terdahulu, Wan Rosdy mengiringi calon BN bagi DUN Chennah Siong Kong Choon, DUN Pertang Datuk Seri Jalaluddin Alias dan DUN Sungai Lui Datuk Mohd Radzi Mohd Ali ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Besar Kuala Klawang, di sini, hari ini.
Wan Rosdy yang juga Pengerusi Majlis Perkaderan dan Latihan (MPL) UMNO berkata, jentera dari Pahang komited membantu kempen BN di Negeri Sembilan sebagaimana kejayaan yang dicatatkan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.
“Bagi Pahang, tuan-tuan jangan bimbang. Mengikut rekod setakat hari ini, apabila Pahang diamanahkan sebagai negeri angkat, kita berjaya membantu kemenangan di Sabah membabitkan Sukau dan Lamag.
“Baru-baru ini di Pontian dan Tanjung Piai, empat kerusi DUN juga berjaya dimenangi dengan majoriti yang cemerlang. Kali ini di Negeri Sembilan, insya-Allah kita akan buat sehabis baik supaya Barisan Nasional menang,” ujarnya.
Beliau berkata, Pahang menghantar seramai 100 anggota jentera sepanjang dua minggu berkempen bagi membantu gerak kerja pilihan raya di Negeri Sembilan termasuk di kawasan Jelebu.
Selain itu, katanya, hampir 100 graduan Sekolah Patriotik UMNO (SPU) turut digerakkan bagi memperkukuhkan usaha mendekati khususnya golongan pengundi muda.
“Sekolah Patriotik UMNO telah berjaya melahirkan lima kumpulan graduan dan mereka kita tugaskan untuk berjumpa pengundi kali pertama serta mengendalikan ‘call centre’ bagi menghubungi anak-anak muda.
“Di Johor sebelum ini, mereka berjaya bertemu secara bersemuka dengan lebih 20,000 orang anak muda. Melalui ‘call centre’ pula, lebih 10,000 pengundi berjaya dihubungi dan diyakinkan supaya keluar mengundi serta menyokong Barisan Nasional,” katanya.
Beliau percaya pendekatan tersebut mampu membantu meningkatkan sokongan rakyat terhadap BN sekali gus membuka peluang terbaik untuk meraih kemenangan pada PRN Negeri Sembilan.
“Kita harap ini peluang terbaik untuk Barisan Nasional meraih kemenangan di Negeri Sembilan. Insya-Allah pada hari pengundian nanti, ketiga-tiga calon kita di Jelebu akan dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan Barisan Nasional akan memperoleh mandat yang diperlukan,” katanya. – UMNO ONLINE
