Penyokong PH Tidak Matang, Mentaliti Kelas Ketiga ‘Boo’ Calon BN

JELEBU, 18 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifatkan tindakan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang melaungkan sorakan ‘boo’ terhadap calon-calon Barisan Nasional (BN) ketika proses penamaan calon sebagai satu sikap yang tidak matang dan tidak mencerminkan semangat demokrasi.

Menurut beliau, insiden tersebut berlaku sebaik sahaja Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan nama-nama calon BN di Dewan Besar Kuala Klawang, di sini, sekali gus mencemarkan suasana yang sepatutnya berlangsung secara tertib dan penuh hormat.

“Saya rasa sangat kecewa pada hari ini kerana sebagai Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Jelebu dan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, saya beranggapan semua parti yang bertanding mempunyai kematangan luar biasa memandangkan negara kita sudah merdeka sejak puluhan tahun.

“Namun malangnya, masih ada parti daripada Pakatan Harapan yang mempunyai mentaliti kelas ketiga. Apabila calon Barisan Nasional diumumkan, mereka ‘boo’ kita. Ini pilihan raya dalam sebuah negara yang sudah lama mengamalkan demokrasi. Sepatutnya kita bertanding secara berhemah dan tidak perlu lagi melakukan perkara sedemikian,” katanya.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata demikian ketika berucap di hadapan para jentera dan penyokong selepas selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Dewan Besar Kuala Klawang, hari ini.

Selain Jalaluddin, dalam DUN yang terdapat dalam Parlimen Jelebu, BN menampilkan Datuk Mohd Radzi Mohd Ali bagi DUN Sungai Lui dan Siong Kong Choon untuk DUN Chennah.

Seterusnya, Jalaluddin berkata, tindakan tersebut jelas memperlihatkan kekurangan dari segi kematangan politik dalam kalangan penyokong PH dan tidak mencerminkan budaya politik yang sihat.

Pada masa yang sama, beliau menyeru seluruh jentera BN agar tidak melayan provokasi sebaliknya mengekalkan disiplin serta berkempen secara berhemah dengan membawa tawaran terbaik kepada rakyat.

“Saya berpesan kepada seluruh jentera supaya berkempen dengan penuh hikmah dan berintegriti. Apa yang perlu kita bawa ialah wawasan serta naratif ke hadapan untuk Negeri Sembilan.

“Kita perlu mengangkat agenda pembangunan negeri, pendidikan anak-anak, kesejahteraan rakyat, memperkukuhkan agama serta mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan adat istiadat Negeri Sembilan. Jika ini menjadi pegangan kita, insya-Allah rakyat akan memberikan mandat yang padu kepada Barisan Nasional pada hari pengundian nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur apabila tiga calon BN di Parlimen Jelebu berjaya mengemukakan pencalonan masing-masing untuk bertanding pada PRN Negeri Sembilan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera UMNO dan BN serta semua pihak yang hadir memberikan sokongan sepanjang proses penamaan calon.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua jentera yang telah bekerja keras dan memberikan sokongan. Kita mohon doa daripada ibu bapa, para ulama dan umara agar seluruh gerak kerja kempen dipermudahkan serta hati para pengundi dibuka untuk memberikan keyakinan kepada semua 25 calon Barisan Nasional di Negeri Sembilan.

“Saya dengan rasa syukur juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih saya kepada semua rakan-rakan jentera, sama ada daripada UMNO, daripada Barisan Nasional, daripada Pas, Perikatan Nasional, dan semua masyarakat NGO (badan bukan kerajaan) yang turut memberikan sokongan untuk bantu kita bagi mencipta kejayaan pada 1 hari bulan nanti, insya-Allah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pilihan raya kali ini amat penting dalam menentukan hala tuju Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang, sekali gus menyeru rakyat supaya memberikan mandat kepada BN demi menjamin kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan seluruh rakyat negeri itu. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO