Mandat Besar, Tiada Ruang ‘Berbulan Madu’ Untuk Exco Johor
JOHOR BAHRU, 18 Julai – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan barisan kepemimpinan negeri yang baharu dilantik bahawa tiada tempoh “berbulan madu”, sebaliknya perlu segera melaksanakan amanah kepada rakyat.
Beliau berkata mandat besar dan berharga yang diberikan oleh Bangsa Johor perlu diterjemahkan kepada kerja yang lebih kuat, penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, dan hasil yang nyata dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang telah dilantik. Pelantikan ini bukanlah satu keistimewaan. Ia merupakan amanah dan tanggungjawab yang sangat besar. Saya telah mengingatkan seluruh barisan Exco bahawa kita tiada masa untuk berbulan madu.
“Keutamaan Kerajaan Negeri selepas ini adalah untuk meneruskan agenda Maju Johor 2030 dengan lebih fokus dan berkesan demi membina Johor yang lebih maju, makmur, dan sejahtera untuk seluruh Bangsa Johor,” katanya pada sidang media di Saujana, Kediaman Menteri Besar Johor, di sini, hari ini.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus membela nasib semua kaum tanpa mengira latar belakang demi memastikan agenda Maju Johor 2030 tercapai demi kesejahteraan seluruh Bangsa Johor.

Onn Hafiz berkata penggal baharu ini menyaksikan kesinambungan pentadbiran dengan mengekalan enam penyandang sedia ada serta pelantikan empat muka baharu bagi memperkukuhkan jentera kerajaan negeri.
Terdahulu, seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, di Istana Bukit Serene, di sini.
Barisan penyandang yang dikekalkan terdiri daripada Datuk Mohd Jafni Md Shukor, Mohd Hairi Mad Shah, Mohd Fared Mohd Khalid, Ling Tian Soon, Lee Ting Han, serta Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Empat muka baharu yang turut dilantik untuk menggalas tanggungjawab kepemimpinan negeri ialah Hasrunizah Hassan, Md Israk Abdullah, Dr. Mohammad Naqib Md. Ghazali, dan P. Pannir Selvam. – BERNAMA
