PRN NS: Kempen Secara Sihat, Turun Dekati Rakyat
TAMPIN, 18 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berharap jentera Barisan Nasional (BN) melaksanakan kempen secara sihat sepanjang mengharungi tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata ia penting bagi memastikan rakyat mendapat peluang menilai calon terbaik sekaligus dapat membawa kepentingan dan pembangunan di kawasan.
“Berkempen dengan sihat supaya kita dapat pergi ke kampung-kampung kepada masyarakat di kawasan ini, untuk menangkan kedua-dua calon BN.
“Tujuannya tidak lain adalah untuk membawa pemimpin-pemimpin yang mempunyai kaliber ke pentadbiran peringkat negeri ini untuk mereka sama-sama dapat membantu rakyat di kawasan,” katanya.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian ketika ditemui media usai penamaan calon di Dewan Perdana Tampin, di sini hari ini.
Mengulas lanjut berkenaan calon diketengah UMNO/BN iaitu Suhaimizan Bizar bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh dan Koh Kim Swee untuk DUN Repah, Johari berkata kedua-dua mereka mempunyai rekod prestasi yang baik serta mempunyai keupayaan tersendiri dalam mendekati masyarakat.
“Kedua-dua calon ini adalah merupakan calon yang mempunyai track record yang sangat bagus. Suhaimizan pernah menjadi wakil rakyat sebelum ini dan dia mahu teruskan kerja-kerja yang bagus ini.
“Manakala Koh Kim Swee adalah merupakan pemimpin dalam masyarakat Cina yang saya nampak, mempunyai satu pendekatan agak berbeza untuk mendekati masyarakat di kawasan Repah.
“Jadi kita minta dalam masa 14 hari ini, berkempen secara sihat kerana kena memikirkan bahawa tujuan mengadakan pilihan raya ini adalah kita mengamalkan satu proses demokrasi.
“Bermakna apabila ada konsep demokrasi ini ialah kita membawa satu cara peradaban yang sangat bagus untuk mencari pemimpin-pemimpin yang hebat di kawasan ini,” ujar beliau.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, manakala pengundian awal pada 28 Julai.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun lepas selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
