Suhaimizan Sah Calon BN Di Gemencheh

TAMPIN, 18 Julai – Calon Barisan Nasional (BN), Suhaimizan Bizar sah menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh untuk mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Suhaimizan berhadapan saingan dua penjuru daripada Pakatan Harapan (PN).

Kedua-dua calon tersebut tiba bersama-sama penyokong dan pencadang masing-masing kira-kira jam 8.50 pagi tadi.

Suhaimizan yang juga penyandang kerusi DUN Gemencheh dilihat tenang ketika memasuki pusat penamaan calon dengan diiringi penyokong Thamizah Anban a/l Palani Velu dan pencadang Leong Sao Peng.

Senarai calon bagi kerusi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Fadhil Hassan di pusat penamaan calon di Dewan Perdana Tampin.

Pada PRN lalu Suhaimizan berjaya memenangi kerusi tersebut selepas memperoleh 8,905 undi menewaskan lawan daripada Perikatan Nasional dengan majoriti 2,434 undi.

Sementara itu bagi DUN Repah, BN mempertaruhkan calon baharu, Koh Kim Swee yang turut sama berhadapan dengan saingan dua penjuru menentang calon PH.

Kim pada proses penamaan tersebut diiringi pencadang Shamsul Yahaya, penyokong Tarumanigam A/L Ramasamy.

Dalam pada itu berdasarkan statistik SPR, sebanyak 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.

Terdahulu, SPR menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan manakala pengundian awal pada 28 Julai. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO