Nada PH Berubah: Daripada Garang Di Johor, Kini Sayu Di Negeri Sembilan – Suraya
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Pakatan Harapan (PH) dilihat mengubah secara drastik pendekatan kempen mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan apabila beralih daripada nada agresif menyerang UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika PRN Johor kepada strategi meraih simpati dengan menggambarkan diri sebagai mangsa keadaan.
Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaakob berkata, perubahan tersebut terlalu ketara sehingga sukar untuk tidak disedari rakyat, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan pendekatan baharu yang dibawa oleh PH.
Menurut beliau, sepanjang kempen di Johor, PH menggunakan pendekatan konfrontasi dengan pelbagai tuduhan dan serangan keras terhadap UMNO serta BN, namun apabila tiba di Negeri Sembilan, mereka tampil dengan naratif yang jauh berbeza.

JEMPOL 22 Jun–Setiausaha Politik kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Suraya Yaakob memberi penerangan kepada ahli-ahli UMNO semasa hadir pada program Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Jempol di sini hari ini.
“Daripada garang menyerang, kini mereka memilih untuk meraih simpati dengan mendakwa diri sebagai pihak yang dianiaya, ditekan dan diperlakukan secara tidak adil oleh UMNO serta BN.
“Perubahan ini bukan sekadar perubahan gaya berkempen, tetapi perubahan keseluruhan arah komunikasi politik mereka. Namun rakyat tidak mudah lupa bahawa menukar nada percakapan tidak akan memadamkan rekod, sikap dan pendekatan yang pernah mereka gunakan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang turut mengingatkan bahawa PH tidak seharusnya cuba memutarbelitkan fakta sehingga rakyat terlupa punca sebenar berlakunya krisis politik yang membawa kepada PRN Negeri Sembilan.
Beliau menegaskan, pilihan raya tersebut bukan tercetus kerana BN mahu meruntuhkan kerajaan negeri atau mengkhianati kerjasama, sebaliknya berpunca daripada kegagalan Menteri Besar daripada PH menguruskan isu berkaitan adat dengan penuh kebijaksanaan serta menghormati batas institusi.
“BN mengambil pendirian berprinsip apabila enggan bersekongkol dengan tindakan Menteri Besar yang dilihat cuba campur tangan secara langsung dalam urusan adat. Keputusan itu bukan gerakan politik untuk menjatuhkan kerajaan, tetapi tindakan mempertahankan institusi, adat serta batas kuasa yang wajib dihormati.
“Perkara ini telah dijelaskan berkali-kali. Namun PH terus membina persepsi seolah-olah BN menjadi punca keruntuhan kerjasama, sedangkan mereka sendiri gagal menguruskan krisis tersebut sejak awal,” katanya.
Tambah beliau, usaha memutar sejarah demi kepentingan politik tidak akan mengubah hakikat bahawa rakyat mengetahui bagaimana krisis itu bermula dan mengapa BN mengambil pendirian yang tegas.
Pada masa sama, Suraya turut mempersoalkan percanggahan pendirian dalam kalangan pemimpin PH apabila terdapat pihak yang memainkan naratif sebagai mangsa, sedangkan pada masa sama Pemuda Amanah secara terbuka mendesak agar BN disingkirkan daripada Kerajaan Perpaduan.
Katanya, desakan tersebut sepatutnya dijawab secara jelas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memandangkan kedudukan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan berada di bawah tanggungjawab kepimpinan beliau.
“Rakyat berhak mengetahui pendirian Perdana Menteri. Adakah beliau bersetuju dengan desakan supaya BN disingkirkan daripada Kerajaan Perpaduan atau beliau sekadar membiarkan pemimpin PH mengeluarkan kenyataan yang saling bercanggah tanpa sebarang penjelasan?
“Mengapa beliau yang sebelum ini begitu lantang dan tegas ketika berkempen di Johor kini dilihat memilih pendekatan yang jauh lebih berhati-hati di Negeri Sembilan?” soal beliau.
Bagaimanapun, Suraya berkata UMNO menyambut baik sekiranya perubahan nada kempen PH benar-benar lahir daripada keinginan untuk mengangkat politik yang lebih matang dan berhemah.
Menurut beliau, pertandingan politik seharusnya tertumpu kepada tawaran dasar, rekod pentadbiran, kemampuan mentadbir, kestabilan politik serta perancangan masa depan, bukannya memainkan sentimen yang boleh memecah-belahkan rakyat.
“PH bentangkan tawaran terbaik mereka, BN pula akan mengemukakan tawaran terbaik kepada rakyat. Biarlah rakyat membuat penilaian berdasarkan rekod, prinsip, kemampuan dan khidmat yang telah diberikan.
“Jangan heret institusi istana ke dalam gelanggang politik. Jangan memainkan sentimen perkauman. Jangan memperalatkan agama untuk menakutkan rakyat. Dan jangan sesekali memutar sejarah krisis adat hanya untuk menutup kegagalan sendiri.
“Jika benar perubahan ini lahir daripada keikhlasan untuk berpolitik secara lebih matang, maka UMNO mengalu-alukannya. Kekalkanlah pendekatan tersebut sehingga hari pengundian kerana akhirnya rakyat Negeri Sembilan berhak menikmati kempen yang berteraskan idea, dasar dan penyelesaian, bukannya propaganda serta permainan persepsi,” katanya lagi. – UMNO Online
