Muafakat Wanita UMNO Segamat Diperkukuh, Fokus Gerak Kerja Hadapi PRU
SEGAMAT, 17 Julai – Semangat muafakat yang dizahirkan dalam Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Segamat hari ini perlu terus diperkasakan sebagai landasan memperkukuhkan gerak kerja parti selepas kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), seterusnya membuat persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim berkata, seluruh jentera Wanita perlu meneruskan momentum yang ada dengan memperkemaskan organisasi, memperluaskan gerak kerja di akar umbi serta terus mendekati rakyat.
“Selepas kejayaan PRN, kini fokus kita adalah memperkemaskan gerak kerja, mendekati rakyat dan membuat persiapan awal menghadapi PRU akan datang.
“Semangat muafakat yang dizahirkan hari ini perlu terus diperkukuhkan kerana kekuatan parti terletak pada kesatuan hati, kesungguhan berkhidmat dan komitmen seluruh jentera di setiap peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Segamat yang berlangsung dengan jayanya dan telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tenggara, Mannzri Nasib.
Norshida turut merakamkan penghargaan kepada Mannzri atas kesudian menyempurnakan perasmian mesyuarat, selain mengucapkan terima kasih kepada seluruh perwakilan, barisan kepimpinan Wanita serta ahli jawatankuasa yang telah memberikan komitmen dan kerjasama sepanjang perjalanan mesyuarat.
Menurut beliau, kekuatan Wanita UMNO perlu terus diperkasakan melalui semangat kebersamaan, disiplin serta kesiapsiagaan jentera bagi memastikan parti sentiasa bersedia menghadapi apa jua cabaran politik pada masa hadapan.
“Bersatu kita teguh, berkhidmat tanpa jemu demi agama, bangsa dan tanah air. Semoga segala usaha yang dicurahkan menjadi amal yang diberkati serta membawa lebih banyak kejayaan kepada Wanita UMNO Bahagian Segamat,” ujar beliau.- UMNO Online
