Dakwaan Pas Tidak Benar, UMNO Selayang Tegas Perbetul Fakta Keahlian
SELAYANG, 17 Julai – UMNO Bahagian Selayang menegaskan dakwaan kononnya seorang bekas Ketua UMNO Cawangan menyertai Pas adalah tidak benar dan disifatkan sebagai cubaan mengelirukan masyarakat serta ahli parti dengan menyebarkan maklumat yang tidak berasaskan fakta.
Dalam satu kenyataan media, Jabatan Penerangan dan Komunikasi Strategik UMNO Bahagian Selayang merujuk kepada hantaran Facebook pemimpin Pas, Zaidy Abdul Talib bertarikh 13 Julai lalu yang mendakwa berlaku penyertaan mantan “Ketua UMNO Cawangan Lembah Hijau (LH16)” ke dalam Pas ketika program Usrah Pas Gugusan Bandar Tasik Puteri.

Menurut kenyataan itu, individu yang dimaksudkan, Zakaria Ariffin, bukanlah bekas Ketua UMNO Cawangan seperti yang didakwa, sebaliknya hanya seorang ahli biasa UMNO Cawangan Bandar Tasik Puteri dan tidak pernah memegang sebarang jawatan sebagai Ketua Cawangan di bawah UMNO Bahagian Selayang.
UMNO Bahagian Selayang menjelaskan bahawa Zakaria sebelum ini pernah menyuarakan hasrat menubuhkan sebuah cawangan baharu di kawasan Lembah Hijau. Namun, usaha tersebut tidak pernah diluluskan kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan dalam Perlembagaan UMNO.
Menurut parti itu, antara syarat mandatori bagi penubuhan sesebuah cawangan baharu ialah pendaftaran sekurang-kurangnya 50 ahli baharu. Walaupun usaha tersebut dilakukan dalam tempoh beberapa tahun, jumlah minimum yang diperlukan gagal dicapai, sekali gus menyebabkan permohonan berkenaan ditolak secara rasmi.
“Justeru, dakwaan bahawa individu tersebut merupakan Ketua UMNO Cawangan LH16 adalah tidak berasas kerana cawangan yang dimaksudkan tidak pernah wujud dalam rekod rasmi UMNO,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, UMNO Bahagian Selayang menegaskan parti sentiasa menghormati hak setiap individu untuk memilih wadah politik masing-masing, namun tindakan menggunakan fakta yang tidak tepat bagi membina persepsi kononnya berlaku penghijrahan besar ahli UMNO ke Pas adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, tindakan memanipulasi status seseorang individu demi mewujudkan naratif politik tertentu bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah mencerminkan budaya politik yang tidak matang.
Sehubungan itu, UMNO Bahagian Selayang melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Zaidy yang didakwa tergesa-gesa membuat hantaran di media sosial tanpa membuat semakan atau mendapatkan penjelasan terlebih dahulu.
UMNO Bahagian Selayang turut mengingatkan kepimpinan Pas Selayang supaya lebih berintegriti dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan kepada umum serta tidak menjadikan fakta yang diputar belit sebagai modal politik.
Menurut kenyataan itu lagi, politik yang sihat perlu dibina atas asas kebenaran, bukannya naratif yang direka demi meraih publisiti murahan sehingga akhirnya menjejaskan kredibiliti pihak yang mengeluarkan dakwaan tersebut. – UMNO Online
