Bina Kejayaan Anak Bangsa Dengan Kepimpinan – Salina

TANJUNG MALIM, 17 Julai – Usaha melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan berjiwa patriotik perlu diperkasakan secara berterusan kerana merekalah aset paling berharga dalam menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin berkata, Kursus Kenegaraan Kepimpinan dan Perkhemahan Perdana Pelajar Tingkatan Enam Daerah Muallim merupakan wadah terbaik untuk membentuk anak-anak bangsa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki jati diri yang kukuh, sahsiah terpuji serta semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air.

Menurut beliau, kejayaan sesebuah negara pada masa hadapan tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal atau kemajuan ekonomi, sebaliknya bermula dengan pembinaan modal insan yang mempunyai nilai kepimpinan, disiplin, integriti dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.

“Anak-anak inilah yang bakal menjadi pemimpin, pentadbir, pendidik, usahawan dan profesional yang akan mencorakkan masa depan negara. Justeru, mereka perlu diperkasakan dengan ilmu, nilai patriotisme serta semangat kepimpinan sejak di bangku sekolah lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Kenegaraan Kepimpinan dan Perkhemahan Perdana Pelajar Tingkatan Enam Daerah Muallim, baru-baru ini.

Katanya lagi, beliau berasa bangga apabila kumpulan pelajar yang mengikuti program tersebut merupakan kumpulan kedua anak angkatnya yang berpeluang menyertai Kursus Kenegaraan, sekali gus membuktikan usaha berterusan dalam menyediakan ruang kepada anak-anak bangsa untuk membina potensi diri.

“Kita mahu melihat mereka melangkah lebih jauh daripada kita. Biarlah mereka menjadi generasi yang berilmu, berakhlak, berintegriti dan berani memimpin perubahan demi kemajuan negara. Pelaburan terhadap anak-anak hari ini adalah jaminan kepada masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

“Saya percaya, dengan bimbingan yang berterusan serta kesungguhan mereka menimba ilmu dan pengalaman, anak-anak ini akan muncul sebagai pemimpin masa hadapan yang mampu membawa manfaat kepada masyarakat, mempertahankan perpaduan serta mengangkat martabat agama, bangsa dan negara,” ujar beliau.

Salina yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut khususnya Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Perak, atas komitmen dan dedikasi dalam menjayakan program yang memberi impak besar terhadap pembangunan sahsiah dan kepimpinan generasi muda. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO