PRN NS: Pencalonan Satu Amanah, Tanggungjawab Besar Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng Datuk Mohd Asna Amin menyifatkan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mewakili parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab demi rakyat.

Mohd Asna yang juga penyandang bagi kerusi tersebut berkata, pengumuman pencalonannya disambut dengan penuh rasa syukur dan berikrar akan meneruskan komitmen berkhidmat kepada seluruh masyarakat di DUN Lenggeng tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT atas kepercayaan dan amanah yang telah diberikan apabila saya diumumkan sebagai Calon Barisan Nasional bagi N09 Lenggeng untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri kali ini.

“Amanah ini bukanlah satu penghormatan semata-mata, tetapi merupakan satu tanggungjawab yang besar untuk saya terus berkhidmat kepada seluruh rakyat DUN Lenggeng tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mohd Asna yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti, khususnya Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan yang diberikan untuk memikul amanah tersebut.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti, rakan-rakan seperjuangan serta para penyokong yang sentiasa memberikan sokongan dan doa sepanjang perjalanan politiknya.

Menurutnya lagi, jika diberi mandat oleh rakyat, keutamaannya adalah untuk terus mendekati masyarakat, mendengar sendiri suara rakyat serta mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu yang dihadapi di peringkat akar umbi.

“Insya-Allah, saya akan terus turun padang, mendengar suara rakyat, menyelesaikan permasalahan yang dihadapi serta berusaha membawa pembangunan dan kemajuan yang lebih baik demi kesejahteraan seluruh warga Lenggeng,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memohon doa seluruh masyarakat agar diberikannya kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam menggalas amanah tersebut, di samping menyeru jentera berganding bahu memperkukuhkan kekuatan.

“Saya juga memohon doa daripada seluruh masyarakat agar diberikan kekuatan, kesihatan dan dipermudahkan segala urusan dalam menggalas amanah ini.

“Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan perpaduan, bekerja sebagai satu pasukan dan berusaha memastikan kemenangan Barisan Nasional di N09 Lenggeng demi masa depan yang lebih baik untuk semua.

“Insya-Allah, dengan sokongan dan doa seluruh rakyat, kita terus melangkah bersama menuju kemenangan,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO