Anak Jati Palong, Pak Mus Tekad Terus Berusaha Sehabis Baik Demi Rakyat

JEMPOL, 16 Julai – Penyandang dan Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong Datuk Mustapha Nagoor bertekad untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat sekiranya terus diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ketua UMNO Bahagian Jempol itu berkata, sebagai anak jati Palong, beliau amat memahami keperluan dan denyut nadi masyarakat setempat, sekali gus menjadi pendorong untuk terus berbakti kepada kawasan yang menjadi tempat beliau membesar.

“Sebagai anak jati Palong, tanah ini dekat di hati Pak Mus. Di sinilah Pak Mus membesar, mengenali suka duka masyarakat dan memahami denyut nadi rakyat.

“Insya-Allah, Pak Mus akan terus berusaha sehabis baik, turun padang tanpa mengenal penat, mendengar suara rakyat dan mempertahankan kerusi N.06 Palong demi kesinambungan pembangunan serta kesejahteraan masyarakat,” katanya yang mesra dikenali sebagai Pak Mus, dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, hubungan yang erat dengan masyarakat Palong membolehkan beliau memahami secara dekat cabaran serta harapan rakyat, sekali gus menguatkan azam untuk terus memperjuangkan kebajikan mereka.

Seterusnya, Mustapha turut bersyukur dan merakamkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang mencalonkannya kembali di kawasan DUN Palong.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih Pak Mus zahirkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional dan UMNO atas kepercayaan yang diberikan untuk Pak Mus sekali lagi dipertanggungjawabkan sebagai calon Barisan Nasional bagi N.06 Palong.

“Kepercayaan ini adalah satu amanah besar yang akan Pak Mus galas dengan penuh rasa tanggungjawab, keikhlasan dan kesungguhan demi rakyat yang Pak Mus sayangi,” katanya.

Selanjutnya, Mustapha turut menegaskan bahawa perjuangan BN bukanlah usaha individu, sebaliknya memerlukan semangat kebersamaan seluruh jentera dan rakyat.

“Perjuangan ini bukan perjuangan seorang diri, tetapi perjuangan kita bersama. Pak Mus mengajak seluruh jentera, sahabat-sahabat dan seluruh warga Palong untuk kita terus berganding bahu, merapatkan saf dan bergerak seiring demi masa depan yang lebih baik untuk N.06 Palong.

“Dengan doa, sokongan dan semangat kebersamaan, insya-Allah kita akan terus melangkah ke hadapan. Terima kasih atas kepercayaan ini. Amanah ini akan Pak Mus pelihara sebaiknya,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO