Kembalikan Kegemilangan Negeri Sembilan Di Bawah Pentadbiran BN

SEREMBAN, 16 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru rakyat untuk memberi mandat kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bagi mengembalikan semula kegemilangan negeri tersebut.

Menurut beliau, Negeri Sembilan mempunyai sejarah kecemerlangan yang mampu diulangi sekiranya semua pihak bersatu hati dan memberikan kepercayaan semula kepada BN untuk mentadbir negeri.

“Kita nak kembalikan semula kegemilangan Negeri Sembilan.

“Jangan kita bercakap soal peribadi atau menyerang sesiapa. Beritahu rakyat bahawa kita datang membawa hasrat untuk mengembalikan semula kegemilangan negeri yang pernah kita kecapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN sempena PRN Negeri Sembilan pada Rabu malam di sini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, seluruh jentera perlu memberi fokus kepada usaha menawarkan masa depan yang lebih baik kepada rakyat.

“Kalau hendak berjuang, berjuanglah bersungguh-sungguh. Kalau hendak menang, buat cara hendak menang.

“Jangan ada perang kecil sesama sendiri kerana matlamat kita hanya satu, iaitu memastikan BN kembali mentadbir Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Beliau turut mengimbau kejayaan Negeri Sembilan, antaranya mengambil contoh dalam arena bola sepak sebagai bukti bahawa negeri itu pernah berada di puncak kecemerlangan hasil semangat kebersamaan dan tekad yang tinggi.

“Kalau dahulu kita mampu mengembalikan kegemilangan Negeri Sembilan sehingga berjaya membawa pulang Piala Malaysia, saya yakin semangat yang sama mampu diterjemahkan dalam perjuangan kita kali ini.

“Insya-Allah, dengan sokongan rakyat, kita mahu melihat Negeri Sembilan kembali bangkit dan berada di landasan kecemerlangan di bawah pentadbiran BN,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO