BN Pilih Rakan Yang Dipercayai Hadapi PRN Negeri Sembilan – Mohamad

SEREMBAN, 16 Julai – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan malam tadi mengumumkan calon parti sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO mengumumkan 25 nama calon BN daripada keseluruhan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan.

Katanya, baki daripada jumlah tesebut akan diberikan kepada rakan yang dipercayai merujuk kepada jalinan kerjasama dengan parti lain.

“Seperti yang disebut oleh Datuk Seri Presiden ataupun Pengerusi BN tadi, bahawa akan ada pengumuman lain kerana kita memasuki PRN ke-16 ini, kita akan buat persefahaman dengan kawan.

“Tapi jangan risau, kita tak ada persefahaman dengan Linggi. Kita buat persefahaman dengan yang boleh dijadikan rakan yang dipercayai, insya-Allah,” katanya.

Mohamad yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN yang diadakan di Perkarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; serta kepimpinan parti kompomen BN.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 18 Julai sebagai hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan, manakala pengundian dijadual berlangsung 1 Ogos. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO