Pindaan RUU: Suhaimi Gesa Komunikasi luar Bandar Kekal Jadi Keutamaan
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menggesa kerajaan memastikan pelaksanaan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 tidak mengabaikan matlamat asal perkhidmatan sejagat untuk memperluaskan akses komunikasi kepada seluruh rakyat.
Membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat, beliau berkata kemasukan inisiatif kebangsaan yang mempunyai elemen keselamatan negara tidak seharusnya mengurangkan tumpuan terhadap kawasan pedalaman, pesisir dan pulau yang masih berdepan masalah liputan.
Menurut beliau, bagi masyarakat luar bandar, komunikasi bukan lagi satu kemudahan, sebaliknya merupakan keperluan asas yang menyokong pendidikan, ekonomi, kesihatan, keselamatan serta penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau turut meminta kementerian memberi jaminan bahawa perluasan konsep perkhidmatan sejagat akan terus meletakkan pengguna akhir sebagai penerima manfaat utama.
Dalam pada itu, Suhaimi berkata aspek keselamatan negara yang diperuntukkan dalam pindaan berkenaan perlu diterjemahkan secara menyeluruh dengan mengambil kira keselamatan rakyat untuk berhubung ketika berlaku kecemasan atau bencana.
Katanya, kementerian perlu menjelaskan skop keselamatan negara yang dimaksudkan sama ada meliputi komunikasi kecemasan, rangkaian bencana, keselamatan siber, kawasan sempadan, infrastruktur kritikal serta pemulihan rangkaian ketika krisis.
Beliau juga membangkitkan mengenai mekanisme arahan menteri di bawah pindaan itu yang menurutnya perlu disertai prinsip akauntabiliti yang jelas.
Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan sama ada setiap arahan akan mempunyai skop, tempoh pelaksanaan, kos, kawasan sasaran dan indikator keberhasilan yang jelas serta sama ada laporan tahunan akan dibentangkan kepada Parlimen berhubung pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Menyentuh negeri Sabah, Suhaimi berkata kawasan seperti Libaran dan Pantai Timur Sabah perlu diberikan keutamaan memandangkan cabaran geografi, komuniti pesisir, kampung air, pulau kecil dan kawasan sempadan yang memerlukan rangkaian komunikasi lebih baik.
Beliau turut meminta kementerian menjelaskan sama ada kawasan liputan lemah telah dipetakan serta sama ada kampung pesisir, sekolah luar bandar, klinik desa, kawasan nelayan dan laluan komuniti akan diberi keutamaan di bawah pelaksanaan pindaan itu.
Pada akhir perbahasannya, Suhaimi menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 kerana komunikasi kini menjadi sebahagian daripada keselamatan negara dan keselamatan rakyat, namun pelaksanaannya perlu memastikan masyarakat di kampung, pulau dan pesisir tidak terus ketinggalan menikmati akses komunikasi yang berkualiti. – UMNO Online
