Wanita Nadi Kebangkitan UMNO, Perkukuh Saf Perjuangan – Sri Rahayu

PASIR SALAK, 15 Julai – Kejayaan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijadikan pembakar semangat kepada seluruh jentera UMNO untuk terus memperkukuh parti dan menggandakan gerak kerja akar umbi sebagai persediaan menghadapi cabaran politik akan datang.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin berkata, Wanita UMNO perlu terus menjadi nadi kebangkitan parti kerana kekuatan sebenar UMNO bermula daripada akar umbi yang sentiasa bekerja tanpa mengenal musim.

“Tahniah kepada semua calon Wanita yang telah diberi kepercayaan dalam PRN Johor. Ambillah kemenangan ini sebagai suntikan semangat dan keyakinan untuk kita terus melangkah ke hadapan.

“Hari ini kita berhimpun bukan sekadar memenuhi takwim organisasi atau tuntutan perlembagaan parti, tetapi kerana kita berkongsi satu matlamat, satu visi dan satu misi iaitu menguatkan serta memperkukuhkan UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak yang disempurnakan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Sri Rahayu, perjuangan UMNO tidak pernah berakhir dengan kemenangan di peti undi semata-mata, sebaliknya perjuangan itu adalah amanah untuk membela kehidupan rakyat dan memastikan masa depan negara terus terpelihara.

Katanya, setiap kali jentera turun ke lapangan bertemu rakyat, apa yang diperjuangkan bukan sekadar undi tetapi harapan masyarakat terhadap masa depan anak-anak, pendidikan yang berkualiti, peluang pekerjaan, pengukuhan ekonomi, keusahawanan serta usaha memperkasakan wanita dan institusi keluarga.

“Apabila kita turun dari rumah ke rumah merayu undi, kita sebenarnya membawa suara rakyat. Kita bercakap tentang masa depan anak-anak, pendidikan, peluang pekerjaan, ekonomi rakyat, keusahawanan, pemerkasaan wanita dan keluarga serta mencari penyelesaian kepada pelbagai isu yang dihadapi rakyat seperti perumahan, kesihatan, perubatan dan kos sara hidup,” ujarnya.

Beliau berkata, atas sebab itu Wanita UMNO sentiasa menjadi kekuatan utama parti kerana gerak kerjanya berlangsung sepanjang masa dan bukannya hanya ketika musim pilihan raya.

“Wanita bukan sekadar penggerak kempen. Wanita ialah pembina keluarga, pendidik generasi dan kekuatan akar umbi UMNO. Kita bekerja sepanjang masa, tidak pernah menunggu musim pilihan raya. Wanita sentiasa bersedia dan sentiasa setia kepada perjuangan.”

Mengulas mengenai persediaan jentera di Pasir Salak, beliau berkata pelbagai gerak kerja telah disusun lebih awal termasuk pelaksanaan proses membanci yang kini memasuki fasa analisis dan pengemaskinian data bagi memastikan setiap maklumat pengundi sentiasa tepat.

Menurutnya lagi, di bawah inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) Pasir Salak Bangkit, pasukan sukarelawan Wanita turut digerakkan secara agresif dari rumah ke rumah untuk menjalankan bancian dan pemetaan pengundi sebagai langkah memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera.

“Apabila Wanita bersatu, seluruh jentera akan menjadi kuat. Sebab itu saya menyeru seluruh Wanita UMNO Pasir Salak supaya terus menjadi nadi kebangkitan parti.” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan UMNO tidak boleh dipikul oleh segelintir pihak sahaja, sebaliknya memerlukan komitmen dan pengorbanan seluruh anggota parti.

Katanya, kemenangan bukan sekadar memberi mandat mentadbir, malah membuka ruang kepada UMNO untuk terus membawa suara rakyat, mempengaruhi dasar kerajaan dan mempertahankan kepentingan agama, bangsa serta negara.

Mengakhiri ucapan, beliau mengajak seluruh jentera supaya terus memelihara kesatuan, menjauhi budaya negatif serta menampilkan akhlak yang baik dalam setiap gerak kerja parti.

“Insya-Allah apabila kita melakukan kebaikan, kebaikan itulah juga yang akan kembali kepada kita. Marilah kita bersama-sama perkukuh, tingkatkan kecintaan kepada parti dan semarakkan semangat perjuangan di setiap pelusuk kampung, demi memastikan UMNO dan Barisan Nasional terus diberi kepercayaan membela agama, bangsa dan tanahair,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO