Penantian Berakhir, 89 Peserta PPSK FELCRA Seri Gala Terima Geran Hak Milik

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Seramai 89 peserta Program Penyusunan Semula Kampung (PPSK) FELCRA Seri Gala, Slim River menerima geran hak milik tanah masing-masing, sekali gus memberi jaminan pemilikan yang sah kepada mereka.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penyerahan geran tersebut bukan sekadar satu majlis rasmi, sebaliknya membawa makna yang amat besar kepada para peserta dan keluarga mereka yang sekian lama menantikan detik bersejarah itu.

Menurutnya, pada majlis yang berlangsung petang Selasa, seramai 47 peserta menerima geran hak milik tanah, melengkapkan keseluruhan 89 penerima selepas 42 peserta menerima geran masing-masing pada fasa pertama sebelum ini.

“Tak lekang senyuman di wajah para penerima geran hakmilik tanah bagi Program Penyusunan Semula Kampung (PPSK) FELCRA Seri Gala, Slim River. Syukur Alhamdulillah, petang tadi (Selasa) saya telah membuat penyerahan geran hakmilik kepada 47 orang peserta program ini.

“Fasa pertama sebelum ini, seramai 42 orang peserta telah menerima geran hakmilik masing-masing menjadikan jumlah keseluruhan seramai 89 orang penerima,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Seterusnya, Saarani turut menasihatkan semua penerima supaya menghargai anugerah yang diterima dengan mengurus serta mengusahakan tanah tersebut sebaik mungkin demi manfaat jangka panjang.

“Pesan saya kepada mereka, jagalah tanah ini sebaiknya dan usahakanlah ia dengan penuh amanah. Janganlah mudah-mudah melepaskannya hanya kerana tawaran yang kelihatan lumayan untuk tempoh yang singkat.

“Moga geran yang diterima hari ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kejayaan serta masa depan yang lebih baik buat semua peserta dan penerus generasi mereka. Insya-Allah,” katanya lagi.

Manakala dalam masa yang sama, Saarani turut merasmikan Dewan Besar PPSK FELCRA Seri Gala yang bakal dimanfaatkan sebagai pusat aktiviti komuniti bagi mengeratkan hubungan masyarakat setempat serta menjadi lokasi pelbagai program kemasyarakatan.

Beliau berharap kemudahan baharu itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat, sekali gus memperkukuhkan semangat kebersamaan dan pembangunan komuniti di kawasan berkenaan. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO