BN Negeri Sembilan Lancar Jentera, Umum Calon PRN Malam Ini
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan melancarkan jentera pilihan raya serta mengumumkan senarai calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam ini.
Majlis yang bermula jam 8.00 malam di kawasan parkir Stadium Paroi, Seremban, Negeri Sembilan itu dijangka menghimpunkan kepimpinan tertinggi BN, calon-calon yang akan diumumkan, barisan kepimpinan negeri, jentera parti serta ribuan penyokong dari seluruh negeri.

Pelancaran jentera berkenaan menjadi titik permulaan rasmi gerak kerja BN dalam menghadapi PRN, sekali gus menyuntik semangat kepada seluruh jentera untuk turun padang mendekati rakyat sepanjang tempoh kempen.
Pada masa sama, tumpuan utama pastinya terarah kepada pengumuman calon-calon BN yang akan menggalas amanah parti bagi merebut mandat rakyat di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Justeru, orang ramai diseru hadir beramai-ramai dengan mengenakan pakaian berwarna biru sebagai simbol solidariti dan sokongan kepada parti menerusi slogan “Kito Birukan N9!”.
Majlis tersebut dijangka menjadi manifestasi kekuatan dan kesiapsiagaan BN dalam menawarkan kepimpinan yang berteraskan kestabilan, kemajuan serta kemakmuran demi kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan menjelang hari pengundian.
Pada 4 Jun lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan DUN negeri terbabit yang mempunyai 36 kerusi, dibubarkan pada keesokan harinya setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan.
Manakala hari penamaan calon adalah pada 18 Julai dan tarikh pengundian awal pada 28 Julai. – UMNO ONLINE
