Nga Kor Ming Dibidas, Hormati Perlembagaan Termasuk Kuasa Prerogatif YDPA
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Menghormati Perlembagaan bermaksud menghormati setiap kuasa yang diperuntukkan termasuklah kuasa prerogatif Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Ujarnya, kenyataan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengenai kesanggupan beliau untuk meletakkan jawatan sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberi pengampunan dilihat seolah-olah mempertikaikan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

“Kenyataan YB Nga Kor Ming menimbulkan persoalan yang amat serius. Adakah beliau sedang mempertikaikan kuasa prerogatif KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengampun atau melegakan hukuman seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan?
“Kuasa pengampunan bukanlah satu tindakan di luar undang-undang. Sebaliknya, ia merupakan kuasa diperuntukkan secara jelas dalam Perlembagaan dan menjadi sebahagian daripada sistem keadilan negara yang mesti dihormati oleh semua pihak, lebih-lebih lagi seorang anggota Jemaah Menteri.
“Apabila seorang menteri memberi gambaran sanggup meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan pelaksanaan kuasa tersebut, ia bukan sekadar menyatakan pendirian peribadi. Ia boleh ditafsirkan sebagai mempertikai pertimbangan institusi Yang di-Pertuan Agong yang melaksanakan kuasa menurut lunas Perlembagaan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok menegaskan bahawa semua pihak wajib menghormati semangat dan kedudukan Perlembagaan.
“Lebih membimbangkan apabila tindakan seperti ini dilihat selari dengan kecenderungan sesetengah pemimpin Dap yang semakin berani mempersoalkan keputusan dan titah institusi Raja-Raja Melayu.
“Institusi Raja-Raja Melayu merupakan salah satu tonggak utama negara. Semua pihak, khususnya anggota pentadbiran kerajaan, wajib menghormati semangat dan kedudukan Perlembagaan serta mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.
“Menghormati Perlembagaan bermaksud menghormati setiap kuasa yang diperuntukkan di bawahnya, termasuk kuasa prerogatif KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi. – UMNO Online
