Mandat Bangsa Johor Bukti Keyakinan Terhadap, Aspirasi Maju Johor – Manndzri
JOHOR BAHRU, 13 Julai – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang memberikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) merupakan cerminan keyakinan Bangsa Johor terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta hala tuju pembangunan menerusi Aspirasi Maju Johor.
Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, mandat yang diberikan rakyat turut memperlihatkan penerimaan terhadap kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam menerajui Barisan Nasional sebagai sebuah gabungan yang menawarkan kestabilan, pengalaman dan dasar yang berpaksikan kepentingan rakyat.
Menurut beliau, keputusan tersebut menjadi mesej jelas bahawa rakyat Johor memilih pendekatan politik yang sederhana, matang dan berorientasikan penyelesaian, berbanding retorik, janji-janji yang tidak berpijak di bumi nyata serta perpecahan dalam kalangan pihak lawan.

“Barisan Nasional merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor atas kepercayaan yang diberikan. Amanah besar ini akan dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab melalui pelaksanaan manifesto PRN Johor dan Aspirasi Maju Johor demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan sempena kemenangan BN dalam PRN Johor yang dianggap sebagai Hari Kebangkitan 2026.
Beliau menegaskan kemenangan besar yang diraih bukanlah ruang untuk berasa selesa atau berbangga diri, sebaliknya menjadi satu amanah yang menuntut seluruh kepimpinan dan jentera BN untuk bekerja dengan lebih gigih, penuh tawaduk dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.
Katanya, fokus utama BN adalah memastikan segala komitmen kepada rakyat dapat direalisasikan di samping meneruskan usaha memperkukuhkan negara melalui dasar-dasar yang pragmatik, realistik dan mampu memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
“Rakyat berhak menikmati sebuah kerajaan yang stabil, berpengalaman dan mempunyai keupayaan untuk melaksanakan dasar secara berkesan. Mereka juga layak memperoleh sistem percukaian yang lebih adil, kebajikan yang tersusun serta penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berintegriti,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Manndzri berkata, keputusan PRN Johor sewajarnya dijadikan pedoman oleh seluruh rakyat Malaysia bahawa kestabilan politik dan kepimpinan yang berwibawa merupakan asas penting dalam usaha membangunkan negara.
Beliau turut mengajak seluruh Bangsa Johor agar terus mensyukuri nikmat kemenangan tersebut dengan penuh rendah diri serta menginsafi bahawa setiap kejayaan adalah dengan izin Allah SWT.
“Segala usaha dan ikhtiar hanyalah asbab, manakala kemenangan adalah ketentuan Allah SWT. Justeru, kita mesti terus memperkukuhkan usaha islah, memperbanyakkan muhasabah dan menjauhkan diri daripada sifat bongkak.
“Marilah kita meneruskan khidmat dengan penuh keikhlasan demi agama, bangsa dan negara, seterusnya bersama-sama menjayakan agenda ‘Resetting Malaysia’ ke arah sebuah Malaysia yang lebih makmur, stabil dan diyakini rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
