UMNO Johor Tekad Tunaikan Amanah Rakyat, Sokong Kepimpinan Onn Hafiz
JOHOR BAHRU, 13 Julai – UMNO Johor menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas limpah perkenan melantik semula Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah berkata, pelantikan itu merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan, keikhlasan serta berpandukan kepentingan rakyat dan kemajuan negeri.

“Semoga kepimpinan ini terus dipandu dengan kebijaksanaan, keikhlasan dan keberkatan Allah SWT demi kemajuan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 serta memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan pentadbiran negeri.
Menurutnya, kemenangan BN bukan sekadar pencapaian politik, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu diterjemahkan melalui khidmat terbaik, prestasi dan hasil pembangunan yang dapat dirasai oleh seluruh rakyat.
“Mandat ini bukan sekadar satu kemenangan politik, sebaliknya merupakan satu amanah besar yang wajib diterjemahkan melalui khidmat, prestasi dan hasil yang dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.
Md Israk turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera BN, UMNO, parti-parti komponen, Friends of BN, sukarelawan serta semua pihak yang telah bekerja keras sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
Katanya, pengorbanan masa, tenaga dan komitmen semua pihak menjadi asas kepada kejayaan yang dicapai hasil daripada semangat perpaduan, disiplin dan kecintaan terhadap Johor.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diberikan mandat oleh rakyat, sama ada daripada BN mahupun pihak pengimbang, agar melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, profesionalisme dan rasa amanah.
“Bagi wakil rakyat Barisan Nasional khususnya, marilah kita terus bekerja sebagai satu pasukan yang kukuh dalam menjayakan agenda Kerajaan Negeri, mengutamakan kebajikan rakyat serta memastikan pembangunan Johor terus dipacu dengan berkesan,” katanya.
Md Israk berkata, UMNO Johor akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan Menteri Besar bagi meneruskan agenda Maju Johor, memperkukuh kestabilan politik, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kini bukan lagi masa untuk berpolitik, tetapi masa untuk bekerja, menyempurnakan amanah dan membalas kepercayaan yang telah diberikan oleh Bangsa Johor,” katanya.
Beliau menegaskan, UMNO Johor akan terus komited dalam memastikan mandat rakyat diterjemahkan melalui pentadbiran yang berkesan demi masa depan negeri Johor. – UMNO Online
