Perak Komited Sedia Kediaman Mampu Milik Berkualiti, Selamat Kepada Rakyat
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Kerajaan Negeri Perak komited menyediakan kediaman mampu milik yang berkualiti dan selamat kepada rakyat meskipun berdepan dengan tekanan peningkatan kos binaan.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah hadir untuk menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Astana Chemor Fasa Satu dan Pelancaran Astana Chemor Fasa Kedua pada Ahad.

“Menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Astana Chemor Fasa Satu serta Pelancaran Astana Chemor Fasa Kedua siang tadi.
“Projek perumahan ini merupakan antara satu lagi usaha Kerajaan Negeri untuk membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman yang selesa, berkualiti dan pada harga mampu milik.
“Ia merangkumi keseluruhan 184 unit rumah, melibatkan 114 unit dalam Fasa Satu dan 70 unit rumah harga terbuka dalam Fasa Kedua,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berkata, Jambatan Astana Chemor akan dapat memudahkan lagi pergerakan penduduk setempat.

“Lokasinya yang berhampiran kawasan pembangunan perindustrian Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan turut memberikan nilai tambah kepada projek berkenaan.
“Saya turut berkesempatan merasmikan Jambatan Astana Chemor yang dapat memudahkan lagi pergerakan penduduk setempat serta melengkapkan lagi pembangunan di kawasan ini.
“Insya-Allah, Perak akan terus komited dalam menyediakan kediaman mampu milik yang berkualiti dan selamat kepada rakyat meskipun industri perumahan berdepan tekanan peningkatan kos binaan,” katanya lagi. – UMNO Online
