Jafry Ariffin Sanjung Pengorbanan Jentera BN Sabah Bantu PRN Johor

KOTA KINABALU, 13 Julai — Ketua UMNO Negeri Sabah, Datuk Jafry Ariffin menzahirkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan jentera Barisan Nasional (BN) Sabah yang telah membantu gerak kerja kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, komitmen, disiplin serta semangat juang yang ditunjukkan oleh jentera BN Sabah sepanjang tempoh kempen membuktikan kekuatan parti bukan sahaja terletak pada organisasi, tetapi juga kesediaan ahli untuk berkhidmat apabila diperlukan.

Menurut beliau, pengorbanan masa, tenaga dan komitmen yang dicurahkan oleh seluruh jentera termasuk Wanita, Pemuda, Puteri serta parti-parti komponen BN amat dihargai dalam memastikan setiap gerak kerja kempen berjalan lancar.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan serta jentera BN Negeri Sabah yang telah diamanahkan membantu gerak kerja kempen PRN Johor.

“Komitmen dan semangat juang yang ditunjukkan membuktikan bahawa kekuatan BN terletak pada kesatuan serta kesediaan setiap ahli untuk berkhidmat apabila parti memerlukan,” katanya.

Jafry turut mengucapkan tahniah kepada kepimpinan dan seluruh jentera BN Johor atas usaha gigih yang dipamerkan sepanjang tempoh kempen.

Katanya, semangat perpaduan, kesetiaan dan kerjasama antara negeri yang terjalin perlu terus diperkukuhkan demi memperkasakan perjuangan BN pada masa hadapan.

“Setiap keringat dan pengorbanan yang dicurahkan merupakan satu sumbangan besar kepada perjuangan parti.
“Barisan Nasional kukuh kerana perpaduan. UMNO Sabah akan terus berdiri teguh bersama perjuangan parti, walau di mana amanah diberikan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO