Mandat Besar Rakyat, BN Komited Terus Majukan Johor

JOHOR BAHRU, 12 Julai – Barisan Nasional (BN) menyifatkan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 sebagai satu amanah besar daripada rakyat untuk meneruskan pentadbiran yang stabil, berwibawa dan berorientasikan pembangunan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kemenangan yang membolehkan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga itu merupakan manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan serta hala tuju gabungan berkenaan.

Beliau berkata, BN merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi Bangsa Johor yang memberikan mandat besar kepada gabungan itu.

Menurutnya, mandat tersebut bukan sekadar kemenangan politik, sebaliknya satu tanggungjawab besar untuk memastikan kerajaan negeri terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Zambry berkata, di bawah kepimpinan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, seluruh kekuatan parti-parti komponen serta Friends of BN berjaya disatukan, sekali gus memperkukuhkan jentera di semua peringkat dan menampilkan BN sebagai gabungan yang menawarkan kestabilan, kesederhanaan serta penyelesaian kepada rakyat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengetuai jentera BN Johor sepanjang kempen dengan penuh dedikasi.

Katanya, rekod pentadbiran kerajaan negeri yang cemerlang, kepimpinan yang dekat dengan rakyat serta hala tuju pembangunan Johor yang jelas menjadi asas penting kepada keyakinan rakyat untuk terus memberikan mandat kepada BN.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh kepimpinan BN, parti-parti komponen UMNO, MCA, MIC, PBRS, PPP dan Friends of BN, selain jentera pilihan raya, sukarelawan serta penyokong yang bertungkus-lumus sepanjang kempen.

“Kemenangan ini adalah hasil usaha kolektif seluruh keluarga besar Barisan Nasional,” katanya.

Zambry turut menegaskan bahawa BN akan menjadi kerajaan kepada seluruh rakyat Johor tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun kecenderungan politik.

Beliau turut mengingatkan semua calon BN yang dipilih supaya melihat kemenangan tersebut sebagai permulaan kepada amanah yang lebih besar dengan terus berkhidmat secara rendah hati, mendekati rakyat dan bekerja tanpa jemu demi memastikan Johor terus maju, makmur serta mencapai lebih banyak kejayaan.

Katanya, BN juga akan terus mengekalkan pendekatan politik yang sederhana, stabil, matang dan inklusif dalam mentadbir negeri demi kepentingan seluruh rakyat Johor. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO