Hj Israk Seru Warga Kukup Bersatu Demi Teruskan Agenda Pembangunan
PONTIAN, 13 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Hj Israk Abdullah menyeru seluruh masyarakat di kawasan itu untuk terus bersatu dan bergerak seiring dalam membangunkan Kukup selepas diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.
Beliau yang memenangi kerusi DUN Kukup dengan majoriti 11,354 undi selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Cheah Chee Hong, berkata kemenangan tersebut adalah milik seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik.
Menurut beliau, mandat yang diberikan oleh pengundi merupakan satu amanah besar yang akan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, tanggungjawab dan komitmen.
“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT atas segala nikmat dan ketentuan-Nya. Dengan penuh rasa syukur, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga N56 Kukup yang telah keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Negeri Johor.
“Terima kasih atas kepercayaan, doa dan sokongan yang telah diberikan,” katanya.
Tambah beliau, kepercayaan yang diberikan akan diterjemahkan melalui khidmat terbaik demi memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Kukup terus diperkasakan.
“Kepercayaan ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi amanah besar yang akan saya pikul dengan penuh keikhlasan, tanggungjawab dan komitmen.
“Insya-Allah, saya akan berusaha sedaya upaya untuk berkhidmat kepada seluruh warga Kukup serta memperjuangkan segala yang terbaik demi kemajuan kawasan yang kita cintai ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, Israk mengajak seluruh warga Kukup untuk menutup lembaran persaingan pilihan raya dan bersama-sama membina masa depan kawasan itu dengan semangat perpaduan.
“Kini, marilah kita melangkah ke hadapan dengan semangat kebersamaan. Ketepikan segala perbezaan dan bersama-sama kita membina N56 Kukup yang lebih maju, harmoni dan sejahtera untuk generasi hari ini dan masa hadapan,” katanya.- UMNO Online
