‘Jangan Lupa Janji!’, Armand Azha Ingatkan Nga Kor Ming
JOHOR BAHRU, 13 Julai – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah mendesak Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, supaya menunaikan janji yang pernah dibuat berhubung kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, kenyataan Nga Kor Ming sebelum ini yang menyatakan beliau sanggup meletakkan jawatan sekiranya BN memperoleh mandat besar perlu dihormati dan ditunaikan demi menjaga integriti serta kepercayaan rakyat.
“Bila Nga Kor Ming mengatakan bahawa jika BN mendapat mandat yang besar, beliau akan meletakkan jawatan sebagai menteri, maka saya ingin mengingatkan beliau supaya menunaikan janji tersebut.
“Jika benar beliau berpegang kepada kata-kata dan janji yang dibuat, maka beliau sepatutnya meletakkan jawatan pada sidang Dewan Rakyat yang akan bersidang pada hari Isnin nanti,” katanya kepada UMNO Online.
Armand berkata, sekiranya perkara itu tidak dilakukan, beliau bersama beberapa rakannya bercadang hadir ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum dan mendapatkan penjelasan mengenai pendirian menteri berkenaan.
“Kami akan bertanya secara rasmi bilakah tarikh beliau mahu meletakkan jawatan seperti yang dijanjikan kepada rakyat Johor.
“Sudah tiba masanya untuk beliau berundur dan membuktikan bahawa janji yang dibuat bukan sekadar retorik politik. Janji kepada rakyat perlu ditunaikan,” tegasnya.
Beliau turut menyifatkan isu tersebut sebagai soal kredibiliti seorang pemimpin, selain mengingatkan bahawa setiap kenyataan yang dibuat kepada rakyat perlu disusuli dengan tindakan yang selaras dengan janji berkenaan. – UMNO Online
